vroom

Gaya urban lasak

Oleh Lizam Ridzuan

Sebagai model paling ‘bongsu’ dalam segmen Adventure untuk BMW, jentera G 310 GS adalah jentera yang bukan sahaja lasak, malah sesuai untuk pelbagai tujuan dan kegunaan.

Dilancarkan Oktober lalu, model ini menerima sambutan memberangsangkan untuk kategori bawah 500cc terutama mereka yang inginkan motosikal jenama premium.

Dikuasakan enjin empat lejang DOHC 313cc silinder tunggal sejukan cecair, ternyata jentera ini mudah dikawal terutama ketika menempuh kesesakan jalan raya selain tunggangan jarak jauh.

Malah G 310 GS yang dikenali dengan konsep ‘Urban Adventure’ boleh dijadikan jentera tunggangan harian ke tempat kerja atau menjelajah ke laluan off-road sederhana dengan jaminan kepuasan tunggangan.

Faktor ketinggian motosikal memberi kelebihan ketika mengharungi laluan berair atau melepasi halangan tidak rata.

Motosikal buatan Jerman ini dijana enjin berkuasa 34PS pada 9,500 rpm dan tork 28Nm pada 7,500 rpm.

Pelana dengan ketinggian 835 milimeter (mm) sesuai untuk ketinggian orang Asia, dibantu fork hadapan terbalik 41 mm dan travel 180 mm serta lengan ayun aluminium bersama topang gegelung pra bebanan boleh laras.

Jika diteliti, reka bentuknya masih mengekalkan DNA model GS lain seperti kerangka besi tiub, rekaan lampu dengan dapra hadapan, pelindung angin dan tangki.

Malah sekali pandang, sukar untuk mengenal pasti kapasiti enjin jika tidak melihat nama yang tertera pada fairing motosikal.

Roda hadapan dengan corak lima bilah bersaiz 19 inci dan rim 17 inci pada roda belakang menyerlahkan sentuhan gaya sporty urban untuk kendalian lebih mantap.

Panel meter digital penuh untuk kelajuan, rpm dan maklumat perjalanan memudahkan penunggang.

Keseluruhannya, BMW G 310 GS adalah motosikal dwikegunaan dengan rekaan enduro sesuai untuk kegunaan dalam bandar atau meredah laluan lasak.

Kelajuan maksimum dicatatkan sekitar 160 kilometer sejam (km/j) dengan kotak gear enam kelajuan dibantu Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) BMW Motorrad.

Untuk pasaran tempatan, BMW G 310 GS dijual pada harga asas bermula RM29,900 dengan tiga pilihan warna iaitu Hitam Cosmic, Merah Racing dan Putih Pearl selain dua tahun waranti tanpa had perbatuan.

BMW G 310 GS

• ENJIN: Empat lejang DOHC 313 cc silinder tunggal sejukan cecair

• KUASA MAKSIMUM: 34 hp pada 9,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 28 Nm pada 7,500 rpm

• TRANSMISI: 6 kelajuan Synchromesh

• KAPASITI BAHAN API: 11 liter

• CIRI KESELAMATAN: ABS

• HARGA: RM29,900 (tanpa GST, cukai jalan dan insurans)

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 2:25am
d