vroom

Himpunan dua retro

Oleh Omar Ahmad

Kelibat penunggang motosikal berkuasa tinggi atau kehadiran kereta antik di jalan raya sentiasa mencuri tumpuan ramai.

Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan masyarakat kita meminati jentera berkuasa tinggi atau jentera klasik walaupun tidak semua mampu ‘membela’, apatah lagi memilikinya.

Bagi mewujudkan ikatan persahabatan atas minat sama, KJ Bikers Garage dengan kerjasama PNB Commercial Sdn Bhd menganjurkan Year End Auto Meet Old Skool 2017 di Perling Mall, Johor, baru-baru ini.

Acara ini mendapat perhatian apabila lebih 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi terdiri daripada 20 kumpulan ‘geng motor’ dari seluruh negeri hadir memeriahkan acara.

Menurut penganjur, Datuk Jamaluddin Mansor, program itu adalah acara tahunan yang dilakukan secara santai bertujuan menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi dan pemilik kereta lama.

“Acara sepanjang dua hari ini berjaya mengumpulkan 100 pemilik motosikal berkuasa tinggi dan kereta klasik dari era 1960-an hingga 1980-an.

“Matlamat kita menghimpunkan pemilik dan penunggang motosikal sebagai menghargai minat mereka yang gemarkan dunia permotoran,” katanya.

Jamaluddin berkata, dengan acara seumpama itu, mereka boleh bertukar pandangan dan idea membabitkan pemilik motosikal berkuasa tinggi serta kenderaan klasik.

“Apa yang lebih penting, acara seperti ini boleh mengeratkan hubungan sama ada penunggang motosikal berkuasa tinggi atau pemilik kereta klasik.

“Bukan itu sahaja, pemilik motosikal berkuasa tinggi lain turut hadir memeriahkan suasana,” katanya.

Menurut Jamaluddin, antara kereta klasik dipamerkan termasuklah Triumph Splitfire 1968, Volkswagen Beettle 1963, Austin A35 1963 dan Minimok 1970.

“Semua kereta antik ini berada dalam keadaan baik dan masih boleh bergerak.

“Selain kereta antik, acara turut dimeriahkan dengan kehadiran motosikal klasik antaranya Vespa, BSA, Triumph dan Norton.

“Semua peserta adalah rakyat negeri ini dan saya berasa kagum apabila semua jentera mereka dalam keadaan baik termasuk enjin dan fizikal,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 3:21am
d