Pasaran kenderaan wagon sememangya kecil di negara ini tetapi Volvo menawarkan segmen itu khas buat mereka yang mahu tampil berbeza dengan gaya premium kenderaan Eropah.
Untuk mengetahui kelebihannya, penulis baru-baru ini berpeluang memandu uji Volvo V90 T6 R-Design yang juga varian tertinggi model V90 dilancarkan awal tahun lalu.
Kenderaan yang sesuai buat sesiapa inginkan kelebihan ruang tanpa berkompromi dengan prestasi terutama jenama talaan dan perlumbaan R-Design oleh Volvo.
Sejarahnya, Volvo V90 pernah dikeluarkan sekitar 1997 bagi menggantikan model 960 Estate dan 20 tahun kemudian, V90 kembali dengan rekaan lebih moden bawah platform baru Scalable Product Architecture (SPA).
Berlandaskan platform ini, Volvo menghasilkan jentera dalam bentuk lebih menarik berbanding yang pernah dihasilkan mereka. Antara perbezaan ketara V90 T6 dengan varian T5 adalah kemasan luaran dan dalaman, bumbung panorama selain kapasiti kuasa serta tork lebih tinggi.
Andai dilihat rekaan luaran meskipun berciri wagon, ia direka dengan elemen aerodinamik yang bergaya terutama lampu hadapan dengan nyalaan siang (DRL) berbentuk seakan tukul Thor dan lampu belakang LED.
Rekaan jeriji hadapan jejaring hitam berkilau dan bampar belakang R-Design termasuk cermin sisi warna metal menjadikannya tampil sporty.
Rim aloi lima bilah 19 inci dengan potongan berlian sepadan dengan reka bentuk keseluruhan kenderaan sepanjang 4,936 milimeter (mm) ini.
Ruang dalaman V90 pula tampil elegan dengan warna hitam dan pakej pencahayaan ruang dalaman terbaik serta bumbung panorama.
Antara ciri sentuhan eksklusif dengan logo R-Design ialah stereng tiga bilah dengan kemasan krom, pedal sport dan tombol gear balutan kulit.
Sistem hiburan dengan skrin sesentuh Sensus Connect bersaiz sembilan inci dalam kedudukan menegak disekalikan dengan rekaan papan pemuka pelbagai fungsi termasuk Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS). Ditambah pula pembesar suara enam saluran, Bluetooth dengan sistem bebas tangan dan saluran USB serta iPod bagi kepuasan pemanduan.