vroom

Crossover ranggi

Oleh Lizam Ridzuan

Ranggi dan fleksibel. Itulah pandangan ringkas model Subaru XV serba baru selepas dilancarkan penghujung tahun lalu yang padat ciri terkini sama ada luaran dan dalaman.

Model kedua dibina menggunakan Platform Global Subaru itu menawarkan kemantapan kawalan, keselesaan dan keyakinan dalam segmen Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kompak.

Bagi memberi pengalaman dan menguji prestasinya, pengedar eksklusif jenama berkenaan di negara ini, TC Subaru Sdn Bhd, baru-baru ini, menganjurkan aktiviti pemanduan bersama media bermula dari Petaling Jaya ke Melaka sejauh 150 kilometer (km).

Melalui pelbagai bentuk laluan jalan dan lebuh raya, sebanyak 11 model XV dengan enjin baru Boxer 2.0L yang lebih ringan (sekitar 12 kilogram) berbanding model terdahulu disediakan.

Model pacuan semua roda (AWD) simetri itu kini hadir dengan ciri X-Mode untuk kelancaran meredah permukaan jalan berbukit terutama mengharungi laluan lasak dengan kawalan enjin integrasi.

Perkara itu terbukti di Port Dickson, Negeri Sembilan, apabila diuji dengan pendakian bukit termasuk penggunaan platform ‘roller’ dengan semua roda berfungsi mengikut kehendak pemandu.

Rekaan luaran juga kini lebih ranggi dengan jeriji berbentuk heksagon yang menyerlahkan gaya manakala lampu hadapan berbentuk C jelas untuk sebarang cuaca.

Ruang dalaman dipasang dengan sistem hiburan dan maklumat skrin sesentuh bersaiz lapan inci selain membolehkan sambungan telefon pintar serta paparan kamera undur.

Selain itu, ruang dalaman juga dipertingatkan bagi menambah keselesaan dengan rekaan kerangka 20 milimeter (mm) lebih lebar dan panjang ditambah 15mm daripada model sebelumnya, menawarkan keselesaan maksimum untuk penumpang dewasa.

Elemen keselamatan dengan tujuh beg udara SRS untuk perlindungan hadapan, sisi, tirai dan kaki sebagai ciri standard.

Secara keseluruhan, Subaru XV Serba Baru adalah crossover AWD sesuai untuk pelbagai permukaan jalan dan pada masa sama menawarkan pemanduan berprestasi.

Memiliki kuasa 156PS pada 6,000rpm dan tork 172Nm pada 4,300rpm dengan transmisi tujuh kelajuan Lineartronic CVT menjadikannya jentera yang sesuai untuk kegunaan bandar atau pedalaman.

Untuk pasaran tempatan, dua varian ditawarkan iaitu Subaru XV 2.0i dan 2.0i-P yang dijual pada harga bermula RM118,819 (tanpa insurans) dengan enam pilihan warna iaitu Oren Sunshine, Biru Gelap Pearl, Kelabu Gelap Metalik, Putih Pure, Perak Metalik Ice dan Hitam Silica Crystal.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 12:32am
d