vroom

Dua model MINI Hatch edisi terhad

Oleh HM Digital

Sempena menyambut kedatangan Tahun Baru Cina, jenama kenderaan premium kompak, MINI Malaysia memperkenalkan dua model MINI Hatch edisi terhad terbarunya, iaitu MINI Urbanite dan MINI Amplified.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, berkata kedua-dua model MINI edisi terhad itu kini boleh didapati di semua bilik pameran sah MINI di seluruh negara bermula semalam.

“Direka dengan profil MINI Cooper 5 pintu, MINI Edition tampil dengan gaya lebih ‘garang’ menerusi penggayaan semula yang ketara serta beberapa penambahan membuatkan kenderaan itu kelihatan lebih moden dan premium.

“Dikuasakan enjin tiga silinder dengan empat injap pada setiap silinder, MINI Urbanite Edition mampu menghasilkan kuasa 136 (hp) dan tork 220Nm. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 207 kilometer sejam (km/j) serta memecut dari 0 hingga 100km/j dengan catatan masa 8.1 saat.

“Selain itu, ia juga hanya menggunakan lima liter bahan api bagi setiap 100 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain disertakan ciri standard seperti Bluetooth dan USB pada MINI Connected, ia kini dilengkapi sistem kamera undur bersama garis panduan dan penanda halangan yang mengesan objek.

Bagi MINI Amplified Edition, beliau berkata, dibina berasaskan model MINI Cooper S 3 Pintu untuk golongan elit berjiwa sporty.

“Dilengkapi kit John Cooper Works Aerodynamic, MINI Amplified Edition didatangkan spoiler belakang serta dilengkapi gril berwarna hitam yang sepadan dengan kemasan pada lampu utama dan belakang untuk gaya lebih garang.

“Dari segi prestasinya, ia menawarkan kuasa 211 (hp) dan tork 300Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam catatan masa 6.7 saat dengan pecutan maksimum 233km/j.

“Ruang dalamannya pula disertakan tempat duduk John Cooper Works dan perehat kepala dibalut dengan kulit Alcantara, kontras dengan Red Dinamica yang dibina untuk memastikan keselesaan pemandunya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi ciri standard, kedua-dua model terbabit dilengkapi lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, lampu kabus dan lampu pemanduan automatik.

Selain itu, ia turut disertakan alat pengesan hujan serta Park Distance Control untuk memudahkan pemandu keluar dan masuk dari ruang parkir sempit.

MINI Urbanite Edition dijual pada harga RM198,888 sementara MINI Amplified Edition berharga RM248,888.00, kedua-dua harga ditawarkan tidak termasuk insurans.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 2:12pm
d