vroom

Lagenda Z1 kembali

Oleh HM Digital

Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) melancarkan model terbaru Z900 RS yang beridentitikan retro moden, khusus untuk penggemar jentera dua roda klasik.

Jentera berasaskan model legenda Z1 dijana enjin empat silinder sebaris 900cc DOHC didatangkan bersama suntikan teknologi termaju Kawasaki termasuk kerangka trellis yang lebih ringan, pencahayaan LED dan paparan meter digital.

Berharga RM67,900 bagi varian standard manakala RM69,900 untuk varian edisi khas RS, model terbaru itu ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu oren dan hijau.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hadir sama Pengurus Syarikat Motosikal dan Enjin Kawasaki Heavy Industries Ltd Japan, Naoki Kawaguchi; Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya dan Pengurus Besar KMSB, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing.

Menurut Lim, sebanyak 40 model terbaru itu sudah ditempah sejurus selepas pelancarannya.

Terdahulu, Z900 RS berciri ‘cafe racer’ berkongsi nadi sama dengan model sport naked Z900 menghamburkan 111 kuasa kuda (hp) manakala tork maksimum 98.5Nm.

Antara keisitimewaan ‘jentera jelmaan’ Z1 yang popular sekitar 1970-an ini ialah kotak gear enam kelajuan, sistem ekzos talaan khas, fork hadapan terbalik 41 milimeter (mm) dan suspensi Horizontal Back-Link pada roda belakang.

Selain Sistem Kawasaki Traction Control (KTRC), ciri keselamatan Z900 RS dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) terhadap kedua-dua roda selain lampu hadapan dan belakang LED.

Untuk kelainan tunggangan, KMSB turut menyediakan aksesori tulen terdiri daripada set slider kerangka, kemasan radiator, pad tangki, tempat duduk Ergo-Fit, pelindung angin, peredam Akrapovic dan sebagainya.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 11:24am
d