vroom

Kemuncak Vios Challenge

Oleh Mohd Razlan Sallleh

Penganjuran musim pertama festival Toyota Gazoo Racing (TGR) tiba pada kemuncaknya apabila kejuaraan bagi setiap kategori dalam pusingan terakhir perlumbaan Vios Challenge bakal diketahui hari ini.

Bertempat di Taman Teknologi Malaysia (TPM), pusingan penentu akan menyaksikan perlumbaan bagi semua kategori lebih sengit dan dramatik berikutan semua pelumba masih berpeluang muncul juara sulung musim ini.

Keunikan menggunakan jentera sama dalam perlumbaan dianjurkan jelas dilihat pada setiap keputusan dicatatkan setakat ini.

Pelumba selebriti, pendatang baru, peserta persendirian dan pemandu profesional, masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk muncul juara.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, penganjuran TGR memberi pengalaman perlumbaan berkualiti kepada peminat sukan permotoran tempatan.

“Persaingan dalam kategori Sporting dan Super Sporting sangat dinanti dengan barisan pemandu mempamerkan aksi dan kesungguhan untuk menang.

“Selain itu, Toyota Vios yang menjadi hadiah bagi setiap kategori turut menaikkan semangat pelumba untuk terus sukses,” katanya.

Dalam kategori Sporting, pemandu muda, Brendan Anthony, 19, yang tidak menyertai perlumbaan pertama di Batu Kawan, Pulau Pinang, mengumpul mata konsisten dalam perlumbaan berikutnya dan kini hanya empat mata di belakang pendahulu, Brendon Lim.

Bagi kategori Super Sporting pula, Tengku Djan yang mengalami beberapa insiden pelanggaran ketika perlumbaan di Medini City, Johor, kekal mendahului namun perbezaan tipis empat mata mengatasi pesaing terdekatnya, William Ho.

Manakala kategori Promotional, Shawn Lee mendahului hampir setiap perlumbaan dan kedudukan itu sentiasa digugat Shukri Yahaya sekiranya mampu menguasai litar TPM.

Walaupun tidak tertekan untuk membuktikan keupayaan mereka sebagai pelumba, barisan selebriti lain seperti Danny Koo, Diana Danielle, Fattah Amin, Geraldine Gan, Janna Nick dan Venice Min tetap mempamerkan kesungguhan tinggi dalam setiap perlumbaan.

Selain acara utama perlumbaan Vios Challenge, orang ramai boleh menyertai pelbagai aktiviti sampingan selain mengunjungi booth makanan dan permainan.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 9:20am
d