vroom

Skuter ranggi

Oleh Lizam Ridzuan

Selepas prebiu model ini pada awal tahun ini, akhirnya Yamaha XMax memasuki pasaran tempatan dengan menawarkan pelbagai ciri dan teknologi moden untuk skuter.

Dilengkapi enjin 250cc Blue Core sejukan cecair SOHC dengan CVT, jentera ini menawarkan kuasa maksimum 23 PS manakala tork 23 Nm.

Enjin kompak tidak sahaja mengurangkan berat keseluruhan, malah lebih senyap selain mesra alam yang memenuhi ketetapan emisi Euro 4.

Dengan kapasiti bahan api 13 liter, skuter ini sesuai untuk tunggangan dalam sebarang keadaan jalan raya sama ada di bandar atau lebuh raya.

Konsep rekaan diinspirasikan daripada siri model ikonik TMax dengan gaya premium termasuk elemen bentuk agresif.

Pelindung angin dan kedudukan pemegang boleh laras menawarkan tunggangan lebih santai dan selesa.

Lampu hadapan LED dilengkapi Lampu Nyalaan Siang (DRL) tidak sahaja menyerlahkan gaya, malah mudah dilihat pengguna jalan raya lain.

Panel instrumen meter LCD menempatkan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) dengan latar belakang hitam kelihatan lebih sporty dan mudah dilihat.

Antara ciri lain adalah sistem kunci pintar untuk menghidupkan enjin, mengunci besi pemegang atau membuka tempat duduk tanpa perlu memasukkan kunci.

Pada masa sama, kunci pintar berfungsi sebagai pengesan motosikal di ruang parkir yang luas.

Paling memudahkan ruang simpanan barang dan lampu LED di bawah tempat duduk yang mampu memuatkan dua topi keledar berpenutup penuh.

Selain itu, XMax dilengkapi port pengecas 12V di bawah pemegang hadapan untuk mengecas gajet atau telefon pintar.

Untuk pengendalian lebih mantap, XMax dipasangkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman (TCS).

Dua warna ditawarkan iaitu Putih Metalik dan Gangsa Rusty yang dijual pada harga bermula RM22,500 (tanpa insurans) bersama jaminan 10,000 kilometer (km).

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 1:23am
d