vroom

Sedan berkuasa sudah tiba!

Oleh Mohd Razlan Salleh

BMW Group Malaysia memperkenalkan jentera BMW M5 terbaru yang menawarkan pemanduan luar biasa sama ada pemanduan harian atau agresif di litar lumba.

Model sedan paling berkuasa dalam keluarga BMW ini dijana enjin V8 4.4L teknologi M TwinPower Turbo yang menghamburkan 600 kuasa kuda (hp) pada 5,600 hingga 6,700 rpm manakala keupayaan tork maksimum 750Nm bermula 1,800 hingga 5,600 rpm. Ini membolehkan BMW M5 memecut dari kedudukan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.4 saat sahaja.

Menariknya, keupayaan enjin boleh diubah dengan hanya menekan butang disediakan dan membolehkan pemandu memilih tetapan ‘Efficient’, ‘Sport’ atau ‘Sport Plus’ yang memberi tindak balas lebih berkesan ketika memecut.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, keterujaan terhadap BMW M bermula sejak empat dekad lalu melalui BMW M5, sedan premium berkuasa tinggi.

“BMW M5 terbaru ini berjaya menggarap beberapa gelaran seperti ‘World Performance Car 2018’ di New York International Motor Show 2018 dan kemenangan ketujuh bagi Anugerah Kereta Dunia daripada organisasi ‘World Car of the Year’.

“Sedan serba mewah dan berprestasi tinggi ini juga berjaya merangkul dua Rekod Dunia Guinness untuk jarak drift paling jauh sepanjang 374.2 kilometer di litar skid pad dalam masa lapan jam,” katanya.

Buat pertama kalinya, BMW M5 menampilkan kuasanya melalui sistem pacuan semua roda M xDrive yang dilengkapi pelbagai mod dan boleh disesuaikan mengikut kehendak pemandu.

Kepelbagaian mod 4WD, 4WD Sport atau 2WD menpertingkatkan dinamik pemanduan ke tahap baru. Mod 2WD misalnya, boleh menukar tetapan pemanduan kepada pacuan roda belakang untuk pengalaman pemanduan terbaik.

Sedan premium berkuasa ini hadir bersama reka bentuk trim bampar hadapan terbaru dengan kemampuan penyerapan udara lebih tinggi bagi memastikan sistem penyejukan dan brek berfungsi cemerlang terutama ketika di litar lumba.

Bonet BMW M5 dihasilkan menggunakan aluminium manakala bumbung adalah bahan rumusan plastik CFRP yang kukuh dan ringan. Bersama skirt sisi ‘M rear apron’ serta ‘M rear spoiler’, sedan ini jelas memperlihatkan rupa sporty dan premium.

Menggunakan transmisi lapan kelajuan M Steptronic dilengkapi Drivelogic, sistem ini dioperasikan secara sekuens dengan teknologi pemilih gear pendek terbaharu dalam mod ‘S’, atau secara manual melalui pedal di bahagian belakang stereng.

Butang ‘D’ membolehkan pemandu memilih antara tiga mod Drivelogic disediakan iaitu Mod 1 untuk pemanduan efisien dan selesa, Mod 2 untuk penyingkatan masa penukaran gear dan Mod 3 untuk penyingkatan masa penukaran gear lebih ekstrem bagi konfigurasi perlumbaan.

Model sedan berkuasa ini dijual pada harga bermula RM942,759.86 tanpa insurans dengan pilihan tiga warna menarik.

Sebagai sagu hati, BMW Malaysia menawarkan pilihan menaik taraf untuk jentera BMW M5 melalui Pek Prestasi (Performance Pack), Pek Keselamatan Lanjutan (Advanced Safety Pack) dan Pek Hiburan (Entertainment Pack).

Pilihan Pek Prestasi didatangkan bersama Sistem Ekzos M Sport, Pelindung Enjin Karbon ‘M’ dan tali pinggang keledar ‘M’ manakala Pek Keselamatan Lanjutan menawarkan Bantuan Pemanduan (Driving Assistant Plus) dengan tambahan nilai RM15,000 manakala Pek Hiburan memberi Hiburan Profesional menerusi Sistem Bunyi Keliling Bowers & Wilkins Diamond dengan tambahan nilai sebanyak RM55,000.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 3:59am
d