vroom

Dinamik dan premium

Oleh Lizam Ridzuan

Sesuai bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan keselesaan dalam pemanduan, tayar terbaru Bridgestone model Turanza T005A menawarkan ciri dinamik serta premium.

Disasarkan untuk kenderaan penumpang segmen D, rekaan bunga baru memberi lebih cengkaman ketika jalan basah dan keupayaan membrek dipertingkatkan 10 peratus.

Ini terbukti apabila diuji di litar basah sepanjang 900 meter yang berselekoh dan laluan lurus pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) hingga 120km/j mendapati kenderaan tetap pada laluan serta tidak tergelincir.

Ketika ujian slalom dan membrek, keupayaan tayar ini mengagumkan apabila mampu memberhentikan kereta pada jarak yang pendek dan stabil, secara tidak langsung menambah elemen keselamatan terutama pemanduan dalam bandar.

Corak mengiring diperkenalkan pada permukaan tengah tayar berfungsi mengurangkan kebisingan pada pelbagai kelajuan dan bahagian sisi melengkung untuk menyerap tekanan dengan lebih baik ketika melalui permukaan jalan tidak rata.

Ketika menguji pada kelajuan tinggi untuk litar sepanjang 3.3 kilometer (km) terutama apabila melalui selekoh atau menukar lorong, kenderaan tidak membuai hingga mengganggu keselesaan penumpang.

Sesuai untuk perjalanan jarak jauh dengan keadaan cuaca khatulistiwa, tayar dihasilkan daripada sebatian nano-Pro Tech dengan silika dan polimer ini mampu menyerap haba lebih baik.

Model gantian untuk tayar Turanza G100 ini juga membantu penggunaan bahan api lebih efisien dan tahan lebih lama hasil inovasi kepada pengguna serta mobiliti lebih selamat.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM437 hingga RM1,137 dengan tawaran saiz 16 hingga 20 inci.

(Penulis menyertai sesi pandu uji tayar Bridgestone di Thailand Bridgestone Proving Ground, baru-baru ini)

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 5:43am
d