vroom

Gaya fastback

Oleh Lizam Ridzuan

Model sport sedan, Kia Stinger dengan ciri gran turismo (GT) yang menawarkan keselesaan dan prestasi maksimum dilancarkan pada pertengahan minggu ini untuk pasaran tempatan.

Naza Kia Malaysia (NKM) sebagai pengedar rasmi kenderaan jenama KIA di negara ini menawarkan Stinger dalam dua varian iaitu 3.3 liter V6 GT dan 2.0 liter GT-Line untuk gaya pemanduan prestasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings Datuk Samson Anand George berkata, model ini dibangunkan untuk prestasi dan gaya hasil komitmen dan semangat dalam penghasilan jentera berkualiti tinggi yang mendapat penarafan global melalui anugerah EyesOn ketika Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) pada 2017 .

“Seiring dengan moto ‘The Power to Suprise’ Stinger adalah inovasi era baru bagi model Kia dan dalam masa sama mengekalkan DNA jenama itu yang menawarkan prestasi, keselesaaan dan ciri teknologi terkini,” katanya ketika pelancaran.

Rekaan Kia Stinger dengan bayangan ‘fastback’ dan kedudukan pacuan-roda-belakang menjadikan ia tampil dengan elemen aerodinamik serta garis dan kontur pada pintu menyerlah ia sebagai sebuah GT.

Tampil menyerlah ialah gril signatur berbentuk ‘hidung-harimau’ diapit dengan lampu hadapan LED penuh serta corak sarang lebah dan krom gelap menyerlahkan ciri luaran yang premium serta rim bersaiz 18 inci (2.0L) dan 19 inci (3.3L).

Bahagian dalaman yang kemas berkonsepkan gaya kabin kapal terbang serta dipadankan dengan kerusi kulit lembut Nappa bagi 3.3L V6 dan kerusi pemandu elektrik lapan larasan dan sokongan lumbar untuk keselesaan sepanjang perjalanan sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Teknologi maklumat dan hiburan dengan skrin sesentuh lapan inci ‘terapung’ dengan ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto serta butang penghawa dingin terletak di bawahnya.

Untuk pemandu pada bahagian tengah dengan roda stereng potongan D balutan kulit serta kluster meter TFT daripada LCD bersaiz 7 inci untuk data prestasi seperti g-force selekoh, masa pusingan, suhu minyak enjin, pandu arah dan dignostik.

Untuk kuasa, dua pilihan enjin pengecas turbo ditawarkan iaitu 2.0L pengecas turbo twin-scroll empat silinder Thtea II T-GDI yang menjana kuasa kuda 251hp pada 6,200rpm serta daya kilas 353Nm pada 1,400 hingga 4,000rpm.

Untuk enjin 3.3L turbo-berkembar V6 Lambda T-GDi menghemburkan kuasa pada 365hp pada 6,000rpm dengan daya kilas 510Nm pada 1,300 hingga 4,500rpm berkemampuan memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) sekitar 4.9 saat.

Transmisi automatik lapan kelajuan generasi kedua yang dibangunkan oleh Kia yang pertama kali dengan ciri Centrifugal.

Pendulum Absorber (CPA) pada 2.0L GT-Line untuk mengurangkan getaran kilasan yang selalunya hanya untuk penerbangan dan perlumbaan.

Pemanduan pintar dengan kawalan transmisi Shift-By-Wire untuk Stinger ini membolehkan pemandu menukar mod melalui kawalan elektronik pada paddle shift di belakang roda stereng.

Melalui pacuan roda belakang juga membolehkan sistem stereng dan suspensi digabungkan melalui lima mod pemanduan yang menawarkan kelancaran di antara ciri keselesaan dan sport.

Sebagai sebuah GT yang ditala dan dibangunkan di litar Nürburgring, Jerman ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk pemanduan seperti Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dengan sistem Kawalan Pemanduan Daya Kilas Dinamik yang mengalirkan kuasa mengikut situasi pemanduan dan permukaan jalan bagi mengelakkan gelinciran.

Untuk memberhentikan kenderaan, Kia Stinger dipasangkan dengan brek cakera berprestasi tinggi Brembo dengan omboh segi empat pada angkup bahagian hadapan dan dwiomboh pada angkup belakang daripada aluminium monobloc ringan.

Empat warna ditawarkan iaitu Merah Hichroma, Biru Deep Chroma, Metal Panthera dan Hitam Aurora bersama ruang dalaman dengan pakej warna merah untuk 3.3L serta hitam untuk 2.0L.

Untuk 3.3 liter V6 GT, ia dijual pada harga bermula RM309,888 dan 2.0 liter GT-Line pada RM239,888 (atas jalan tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 11:46am
d