vroom

Taruhan terbaru Yamaha

Oleh Mohd Razlan Salleh

Bercirikan masa depan dengan spesifikasi enjin termaju, pengedar dan pemasang motosikal jenama Yamaha tempatan, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) melancarkan Yamaha YZF-R15 yang bercirikan motosikal berkuasa tinggi YZF.

Model terbaru ini hadir dengan spesifikasi tinggi yang biasanya hanya diperoleh daripada jentera berkapasiti enjin lebih ting­gi. Antara yang mencuri tumpuan adalah penggunaan suspensi fork terbalik (USD) bagi memastikan kestabilan jentera ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Yamaha YZF-R15 dikuasakan enjin satu silinder 155cc sejukan cecair dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) menjanjikan 19.3 kuasa kuda (hp) dan daya kilas maksimum 15 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac Slipper & Assist sebagai ciri standard.

Dilengkapi brek cakera hadapan 28.2 milimeter (mm) dan 22.0 mm di roda belakang, membayang­kan jarak berhenti yang singkat.

Dengan panel instrumen LCD memaparkan rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran memudahkan penunggang mengenal pasti status motosikal sepanjang masa.

Selain penggunaan kerangka Deltabox yang lebih kukuh, R15 didatangkan bersama tangki bahan api berkapasiti 11 liter selain berat keseluruhan 137 kilogram (kg).

Model ini kelihatan premium apabila lampu hadapan dan belakang dipadankan bersama unit LED.

Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor berkata, model terbaru bersesaran 155cc ditambah baik untuk pengendalian lebih cekap dan tangkas.

“Model terbaru ini juga ditambah baik dengan kerangka lebih aerodinamik.

“Selain itu, teknologi VVA memberikan kelainan kepada penunggangnya,” katanya ketika majlis pelancaran, baru-baru ini.

Menurut Jim, model berkenaan disasarkan kepada golongan muda berusia antara 25 hingga 35 tahun.

“HLYM menyasarkan pengeluaran 500 unit sebulan sebaik berada di pasaran, hujung bulan ini,” katanya.

Dijual pada harga RM11,988 (tanpa insurans), tiga warna ditawarkan ia­itu biru, hitam dan kuning.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 12:00am
d