vroom

Muda dan moden

Oleh Lizam Ridzuan

Antara varian V7 III lain yang dijual di negara ini ialah Special, Stone, Racer dan Anniversario, masing-masing dengan karakter dan gaya tersendiri.

Sejak memperkenalkan model street cruiser pada 1967, Moto Guzzi V7 sememangnya menjanjikan gaya tunggangan santai dengan reka bentuk klasik yang segar sepanjang zaman.

Pengenalan model V7 III generasi ketiga tetap membawakan jentera permulaan yang menarik serta mudah ditunggang dengan karakter berprestasi. Untuk lebih pilihan, ia kini didatangkan dengan ‘ahli keluarga’ baharu iaitu V7 III Carbon diedarkan Didi Resources Sdn Bhd.

Ciri menarik pada model terbaru ini ialah elemen gentian karbon dan warna hitam kusam mendominasi keseluruhan motosikal termasuk pada rekaan dapra dipendekkan dan ‘fairing’ sisi.

Sentuhan warna merah terhadap logo helang pada panel sisi dan tangki, angkup Brembo dan pelindung bagi silinder memecah dominasi krom yang sering ditawarkan dengan model lain supaya V7 III Carbon tampil sporty.

Hanya 1,921 unit sahaja dikeluarkan di seluruh dunia dan enam daripadanya ditawarkan ke pasaran tempatan dengan nombor siri pembuatan boleh dilihat di bahagian tengah palang pemegang.

Bahagian pelana kemasan jahitan merah dengan kulit bermutu tinggi Alcantara yang kalis air sesuai untuk cuaca hujan dan panas negara kita.

Model ini juga dilengkapi panel instrumen tunggal gabungan digital dan analog untuk meter kelajuan, trip perjalanan harian, masa perjalanan, purata penggunaan bahan api dan kelajuan, suhu udara, indikasi gear, kawalan cengkaman serta tolok rpm.

Dikuasakan enjin 744cc silinder-berkembar V dua injap setiap satunya dengan penyejukan udara, ia menghasilkan 52 kuasa kuda (hp) pada 6,200 rpm dan daya kilas 60Nm pada 4,900 rpm selain mematuhi peraturan alam sekitar Euro 4.

Kotak gear enam kelajuan dengan klac cakera tunggal kering 170 mm mempertingkatkan keupayaan dan ketahanan yang memberi kelancaran nisbah tukaran gear dipanjangkan untuk disesuaikan dengan daya kilas dan kuasa enjin.

Ciri keselamatan juga dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman Moto Guzzi (MGCT) boleh laras atau dinyahaktifkan pada roda belakang mengikut kesesuaian jalan raya.

Menerusi platfrom multimedia Moto Guzzi (MG-MP) membolehkan ketersambungan motosikal bagi telefon pintar dilakukan dengan aplikasi daripada Apple Store dan Google Play untuk maklumat perjalanan yang boleh dipaparkan pada komputer.

Ciri lain V7 III Carbon ialah tangki bahan api 21 liter, rim aloi hadapan 18 inci dan belakang 17 inci, ketinggian pelana 770 milimeter (mm) dan lengan ayun aloi dengan dua penyerap kejutan dan spring prabeban boleh laras.

Untuk pasaran tempatan, model diimport sepenuhnya dari Itali ini dijual pada harga RM74,900 dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 12:40am
d