vroom

Mitsubishi lancar Triton baru [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

MITSUBISHI Motors Corporation (MMC) pengeluar kenderaan jenama Mitsubishi memperkenalkan kemunculan global pertama untuk trak pikap 1 tan model Triton/L200 terbaru di Bangkok, hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Osamu Masuko.

Dibangunkan dengan konsep rekaan ‘Kejuruteraan Melangkaui Keteguhan’ ia kini dengan penggayaan baru pada bahagian Perisai Dinamik hadapan, pacuan empat roda (4WD) yang dipertingkatkan dan sistem bantu pemandu serta keselamatan aktif.

Melalui penggayaan ‘Rock Solid’ rekaan hadapan Triton dengan garisan penutup enjin dan lampu hadapan tinggi LED menyerlahkan rekaan yang lebih maskulin.

Pada bahagian sisi dan belakang bentuk melengkung bergaris kontra, lampu dan bampar direka lebih teguh dengan bingkai memperlihatkan visual trak lebih lebar dan tampil lebih moden.

Triton model 4WD baru juga dilengkapi Super-Select 4WD yang menawarkan cengkaman optimum dan karakter kawalan mengikut permukaan jalan atau Easy-Select 4WD yang memudahkan pertukaran mod pemanduan untuk pelbagai permukaan jalan yang mana keduanya meningkatkan prestasi jentera itu pada laluan off-road.

Mod off-road terbaru itu ialah Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock yang akan mengawal kuasa penghantaran enjin, membrek serta mengurangkan gelinciran roda dengan memaksimumkan prestasi all-terrain dan self-extraction terutama dalam lumpur dan salji.

Kawalan Menurun Bukit pula dengan kelajuan dikawal secara elektronik membolehkan pemandu mengawa jentera dengan lebih selamat dan tepat.

Ciri keselamatan pada Triton ini masih mengekalkan kerangka jenis tangga berketahanan tinggi dengan struktur kabin perlindungan impakt inggi dan sistem terbaru yang diperkenalkan ialah Pengurangan Perlanggaran Hadapan (FCM), Amaran Titik Buta dan Bantu Ubah Laluan (BSW dengan LCA), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Sistem Pengurangan Terlepas Pecutan Ultrasonik (UMS) dengan monitor pelbagai sekitar untuk paparan bird’s eye view sekitar kenderaan dan pengesan parkir.

Sistem kotak gear transmisi 5 kelajuan kini digantikan dengan 6 kelajuan automatik untuk aliran kuasa lebih lancar, pecutan berkuasa yang diperhalusi dengan lebih baik.

Untuk Thailand ia akan mula dijual pada 17 November ini dan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan melakukan prebiu rasmi Triton Baru ini ketika acara Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 November sehingga 2 Disember hadapan.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 7:21pm
d