vroom

Lincah dan responsif

Oleh Lizam Ridzuan

PERMINTAAN motosikal automatik dan skuter dengan kapasiti enjin lebih besar semakin meningkat setiap tahun.

Selain mudah dikendalikan dan memiliki enjin responsif terutama kegunaan dalam bandar menjadikan skuter sebagai pilihan warga kota.

Untuk menambah rangkaian model menarik, pengedar dan pemasang motosikal Boon Siew Honda memperkenalkan Vario 150 lebih sporty dan berkuasa.

Vroom Harian Metro berkesempatan menguji skuter ini untuk kegunaan harian bagi menilai prestasi dan praktikal ditawarkan serta keselesaan gaya tunggangannya.

Sepertimana skuter lain, Vario 150 direka dengan asas DNA sama namun dengan sentuhan sporty pada kerangka Underbone sesuai untuk golongan muda dan aktif.

Bahagian hadapan tampil erodinamik dengan bentuk futuristik padanan dwi lampu LED dan lampu nyalaan siang (DRL) serta lampu membelok yang bergaya.

•SISTEM kunci pintar.

•PANEL meter digital LCD.

•TAMPIL sporty pada bahagian belakang.

Konsep bahagian belakang berciri sama dengan lampu membelok terpisah daripada perumah utama.

Kedudukan pelana 769 milimeter (mm) sesuai untuk mereka yang berketinggian sederhana, menawarkan posisi keselesaan sama ada menunggang secara solo atau bersama pembonceng.

Vario 150 tampil sporty dengan rekaan panel tepi dengan garis kontur tajam menjadikannya kemas dan kompak serta besi pemegang belakang menggabungkan keseluruhan elemen sporty.

Bukan hanya rekaan, ia juga dilengkapi sistem kunci pintar Honda menawarkan ciri keselamatan serba canggih dengan penggera anti-kecurian dan fungsi jawab kembali untuk carian parkir di lokasi luas.

Sistem ini juga membolehkan penunggang menghidupkan skuter dengan penghidup elektrik tanpa perlu memasukkan kunci selain membuka ruang simpanan di bawah tempat duduk.

Kelebihan skuter ini terletak pada ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter dan boleh memuatkan satu topi keledar penuh selain menyimpan barangan peribadi atau baju hujan.

Panel meter digital penuh LCD berteknologi tinggi dengan paparan kelajuan, odometer, jarak perjalanan serta penunjuk tahap bahan api untuk maklumat kepada penunggang.

Vario 150 menawarkan keseronokan menunggang dengan enjin 149.30 cc satu silinder sejukan cecair SOHC yang responsif di jalan raya.

Teknologi Kuasa Pintar Dipertingkat (eSP) menawarkan kuasa kuda 13.1 PS pada 8,500 rpm dan daya kilas maksimum 13.4Nm pada 5,000 rpm untuk kelancaran berterusan selain mampu memecut melebihi 120 kilometer sejam (km/j).

Paling menarik transmisi automatik V-Matic memudahkan urusan terutama melepasi kesesakan lalu lintas dan menyelit di laluan sempit dengan mudah.

Vario 150 juga dilengkapi fungsi automatik Sistem Henti Melahu (ISS) dan mula ketika berhenti di persimpangan atau lampu isyarat bagi penjimatan bahan api.

Tangki petrol 5.5 liter dengan suntikan bahan api PGM-Fi mampu bergerak sejauh 200 kilometer (km) bergantung kepada corak tunggangan.

•BREK cakera hidraulik hadapan.

•RUANG simpanan 18 liter.

•WARNA Repsol tampil sporty.

Untuk menambah keselesaan menunggang, suspensi hadapan teleskopik pada bahagian hadapan dan lengan ayun tunggal belakang serta rim bersaiz 14 inci bagi menyerap getaran permukaan jalan tidak rata.

Skuter yang responsif ini juga didatangkan dengan elemen keselamatan Sistem Brek Combi (CBS) seperti brek cakera hidraulik hadapan dan dram mekanikal pada roda belakang.

Secara keseluruhannya, Vario 150 menawarkan tunggangan responsif untuk sebarang kelajuan selain sesuai bagi kegunaan dalam bandar.

Prestasi, reka bentuk bergaya dan tunggangan mudah menjadikan Vario 150 pilihan berbaloi untuk wang dengan ciri dan teknologi moden yang turut mendapat penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Untuk pasaran tempatan, pilihan warna Hitam Mutiara, Biru Mutiara dan Perak Metalik dijual pada harga RM7,199 manakala Edisi Repsol dijual pada harga RM7,399 dengan jaminan dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km, yang mana terdahulu.

SPESIFIKASI

HONDA VARIO 150

Enjin: 149.30 cc, satu silinder, sejukan cecair, SOHC.

Kuasa maksimum: 13.1 PS @ 8,500 rpm

Tork maksimum: 13.4 Nm @ 5,000 rpm

Kapasiti petrol: 5.5 liter

Ciri keselamatan: Sistem Brek Combi (CBS)

Harga: RM7,199 (Standard) / RM7,399 (Edisi Repsol) (Semua harga tanpa insurans)

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 9:01am
d