vroom

Prestasi legenda

Oleh Lizam Ridzuan

Sesuai untuk naik taraf motosikal terutama daripada pengguna cub dan street, Kawasaki Ninja 250 serba baharu yang dilancarkan Julai lalu adalah jentera sport yang berprestasi.

Model keluarga Ninja yang mula diperkenalkan pada 2008 ini ideal untuk semua golongan penunggang sama ada yang baharu atau berpengalaman untuk merasai gaya kendalian jentera yang ringan dan lincah.

Vroom Metro Ahad berpeluang menguji Kawasaki Ninja 250 serba baharu yang dilancarkan pertengahan tahun ini dengan reka bentuk dan casis inovatif menjanjikan tunggangan dinamik.

Sebaik mengambil motosikal ini di ibu pejabat Kawasaki Motors (M) Sdn Bhd, Shah Alam, perkara pertama yang penulis dapat rasakan ialah kedudukan dan posisi menunggangnya yang sporty dan ergonomik.

Melihat pada reka bentuk baharunya, wajah Ninja 250 ini tampil menarik dengan lampu hadapan LED berkembar yang lebih tirus diinspirasikan daripada model premium Ninja H2.

Setiap satu lampu ini dengan ciri pancaran tinggi dan rendah serta lampu kedudukan yang mudah dilihat dari jauh yang menambah kecerahan pancaran cahaya untuk aspek keselamatan terutama pada waktu malam.

Gaya futuristik ini juga menjadikan Ninja 250 lebih premium dengan kemasan dan padanan seperti ciri motosikal yang berkuasa lebih tinggi kapasiti enjinnya.

Tampil agresif termasuk tangki bahan api kini lebih ramping 14 liter untuk mudah diapit kaki supaya lebih dekat dengan jentera untuk kawalan dan tarikan graviti lebih baik menjadikan keseluruhan perjalanan lebih stabil dan selesa.

Ciri prestasi juga diserlahkan dengan padanan lampu belakang LED diinspirasikan daripada model superbike perlumbaan ZX-10R jelas dan terang dalam sebarang cuaca.

Kokpitnya juga dipertingkatkan dengan instrumen yang sama dipasang pada jentera Ninja 650 adalah gabungan analog dan digital, memaparkan kedudukan gear, lampu amaran dan tahap bahan api juga elemen LCD pelbagai fungsi untuk maklumat perjalanan kepada penunggang.

Selain ringan, padanan kerangka dan enjin baharu 249cc silinder berkembar selari ini memudahkan kendalian jentera yang kini dipertingkatkan kuasanya sebanyak 5 kW untuk kelancaran pada pelbagai kelajuan.

Tiada kekurangan tenaga enjin yang dirasai dan Ninja menyalurkan kuasa dengan sangat baik terutama hemburan kuasa kuda pada 39 hp pada 12,500 rpm dan daya kilas 23.5 Nm pada 10,000 rpm berbanding 32 hp dan 21 Nm model lalu.

Ia kini dengan kerangka trelis ringan dengan ciri yang sama seperti model Ninja H2 tampil kukuh untuk karakter pemanduan agresif terutama ketika meluncur di lebuh raya atau memintas kenderaan lebih lincah dapat dilakukan.

Mudah melepasi kesesakan jalan raya malah berprestasi di lebuh raya dengan kelajuan maksimum boleh mencecah 170 kilometer sejam (km/j) bergantung pada berat badan dan ketinggian penunggang menjadikan Ninja 250 model pretasi permulaan yang terbaik .

Ketika melayan selekoh, ia tetap pada laluan hasil adunan suspensi fork teleskop 41 milimeter (mm) berbanding 37 mm sebelum ini yang memberikan kesan pengendalian lebih tepat serta menukar haluan juga boleh dilakukan dengan pantas terutama meredah kesesakan jalan raya.

Bahagian belakang dengan suspensi Bottom-Link Uni-Trak pengecas gas boleh laras 5 peringkat bagi disesuaikan dengan berat dan ketinggian penunggang, serta corak tunggangan lebih selesa jika membawa pembonceng .

Paling ketara walaupun menunggang bagi tempoh lama, tidak terasa kepanasan pada kaki hasil operasi sistem pengurusan haba baharu direka bentuk menggunakan analisis CFD yang mengalihkan udara panas keluar jauh daripada penunggang lantas mengurangkan ketidakselesaan ketika di atas motor.

Klac lebih kompak dan ringan sebanyak 20 peratus berbanding generasi sebelumnya bagi memudahkan tukaran gear enam kelajuan dengan sistem Klac Slipper & Bantu Baru untuk lebih responsif serta lancar.

Secara keseluruhan Kawasaki Ninja 250 adalah motosikal sports ideal buat penunggang baharu ingin mempertingkatkan kemahiran pengendalian dan bagi yang sudah mahir, untuk menguji prestasi dan ketangkasannya pula.

Rekaan yang lebih menarik dan premium tampil seakan-akan motosikal berkuasa lebih tinggi menjadikan Ninja terus menawarkan gaya futuristik sesuai dengan peredaran zaman.

Enjin 249cc silinder berkembar yang dipertingkatkan untuk kelancaran dan prestasi serta mudah dikawal pada pelbagai kelajuan juga penggunaan bahan api efisien dengan satu tangki penuh mampu mencapai 300 kilometer (km).

Ketinggian pelana 795 milimeter (mm) sesuai untuk saiz penunggang Asia Timur terutama untuk kaki mencecah ke jalan raya ketika memberhentikan motosikal dan sistem brek hadapan cakera 310mm separa terapung dan belakang 220mm berfungsi baik pada pelbagai kelajuan.

Sesuai untuk tunggangan harian atau perjalanan jarak jauh dengan posisi menunggang yang sporty dan selesa juga boleh melayan selekoh pada hujung minggu menjadikan Ninja 250 serba baharu ini lebih praktikal.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM23,071 dengan dua tahun jaminan pengeluar atau 20,000km yang mana lebih dahulu dalam dua pilihan warna iaitu kelabu dan merah.

NINJA 250 STD

• ENJIN: 249cc, silinder berkembar DOHC, sejukan cecair

• KUASA MAKSIMUM: 39 PS @ 12,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 23.5 Nm @ 10,000 rpm

• KAPASITI PETROL: 14 liter

• CIRI KESELAMATAN: Klac Assist dan Slipper

• HARGA: RM23,071 (tanpa insurans)

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 7:02am
d