vroom

Bawa ramai penumpang

Oleh Lizam Ridzuan

BAGI memenuhi keperluan mobiliti kegunaan pelbagai industri, Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM) melancarkan van komersial hasil kerjasama strategik bersama pengeluar bas dan kenderaan perdagangan China, Higer.

Model Go Auto-Higer Ace mula memasuki pasaran tempatan dengan pilihan kapasiti 18 dan 15 tempat duduk ditawarkan dalam dua varian enjin 3.0L atau 2.5L.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin berkata, selain selesa dengan ruang yang luas, ia didatangkan dengan kotak gear teknologi Jepun transmisi manual enam atau lima kelajuan.

“Ciri termaju dan keselamatan terkini juga ada pada van ini antaranya pintu gelongsor pada kedua-dua sisi memudahkan penumpang keluar dan masuk.

“Sesuai dengan tujuannya untuk membawa ramai penumpang, ia dilengkapi Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) serta komponen lasak pada gandar, klac dan propeller shaft,” katanya pada majlis pelancaran, baru-baru ini.

Tambahnya, model ini sesuai dijadikan van sekolah, bas pekerja dan ambulans selain keperluan perniagaan dengan kelebihan bumbung tinggi.

Go Auto-Higer Ace berdimensi 5,990 milimeter (mm) panjang, 1,880mm lebar dan 2,285mm tinggi serta jarak roda 3,720mm manakala kelegaan jalan raya 200mm untuk kelancaran di laluan tidak rata.

GAM juga merancang rangkaian penuh kenderaan komersial seperti bas mini, van kecil dan coach bagi pilihan dan tawaran lebih baik kepada pengguna di negara ini.

“Kami menyasarkan jualan 400 unit bagi tahun ini melalui tiga pengedar utama di Kuala Lumpur, Sungai Petani, Kedah dan Muar, Johor,” katanya.

Untuk kemudahan pengguna, sebanyak 12 rangkaian pusat jualan dan 37 pusat servis di seluruh negara bakal diwujudkan secara berperingkat bagi khidmat selepas jualan dan penyeleng­garaan.

Harga asas Go Auto-Higer Ace bermula RM138,500 sehingga RM145,800.

Untuk pasaran tempatan, setiap pembelian Go Auto-Higer Ace disertakan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 kilometer (km), yang mana terdahulu.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 9:07am
d