vroom

Generasi ketiga Vios dilancarkan

Mohd Razlan Salleh

SELEPAS dipertontonkan ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) November tahun lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan secara rasmi Toyota Vios serba baharu untuk pasaran tempatan.

Generasi ketiga Vios ini tidak hanya menerima wajah baru tetapi turut dinaik taraf dan penambahbaikan lain yang menjadikannya lebih seronok dan selamat dipandu.

Masih mengekalkan nadi enjin 1.5L 16V DOHC Dual VVT-i, sedan popular ini dipadankan bersama transmisi CVT tujuh kelajuan Sequential Shift yang menawarkan kuasa 107 PS pada 6,000rpm dan daya kilas maksimum 140Nm pada 4,200rpm.

Semua varian iaitu J, E dan G menerima penarafan maksimum bagi ASEAN NCAP lima-bintang dan dilengkapi tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Ruang dalaman mengalami perubahan ketara dengan bahagian papan pemuka dan panel instrumen rekaan baru, kemasan tempat duduk selesa, konsol tengah lebih kemas, slot pengecas USB tambahan serta lampu kabin selain sistem kawalan pendingin hawa automatik untuk semua varian.

Bagi varian G, ia kini didatangkan dengan paddle shifters dan rim aloi 16 inci sebagai ciri standard, meter Optitron berwarna dengan paparan pelbagai maklumat serta sistem infotainmen DVD-AVX dengan ciri USB.

Presiden UMW Toyota Motor K Ravindran berkata, sejak model pertama dilancarkan pada 2003, pihaknya berjaya menjual hampir setengah juta model Vios, menjadikannya antara model paling popular dalam segmen sedan.

“Selepas beberapa tahun, kami meletakkan satu standard tersendiri bagi kenderaan dalam segmen ini selepas menerima maklum balas menggalakkan daripada pelanggan,” katanya ketika majlis pelancarannya di KL City Walk, hari ini.

Dijual pada harga bermula RM77,200 untuk varian 1.5J, RM81,200 (1.5E) dan RM87,300 bagi 1.5G, sebanyak lima warna ditawarkan iaitu Biru Gelap, Merah Mica, Hitam Attitude, Perak Metalik dan Putih Super II.

Toyota Vios serba baharu turut hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan selain pemilik juga akan menikmati keahlian 24SEVEN Road Assist bagi tahun pertama.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 12:45pm
d