vroom

Rolls-Royce lancar SUV mewah Cullinan

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur pengedar utama jenama kenderaan mewah Rolls-Royce di negara ini melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling mewah di Malaysia dikenali sebagai Cullinan.

Cullinan adalah nama yang dipilih bagi model SUV pertama Rolls-Royce, diilhamkan sempena berlian terbesar yang pernah ditemui di dunia.

Pengarahnya, Anas Zawawi Khalid berkata, setiap unit Rolls-Royce Cullinan berciri Bespoke dijual pada harga RM1.8 juta sebelum cukai, bergantung kepada spesifikasi dikehendaki pelanggan.

Beliau berkata, Cullinan adalah model SUV mewah yang bersesuaian di Malaysia khususnya bagi pemanduan di jalan raya yang luas mahupun secara off-road selain turut melengkapi gaya hidup pembeli yang menggemari cabaran lasak.

“Seperti model Rolls-Royce lain, Cullinan dibina dengan kerangka unik seni bina mewah yang mampu meningkatkan tahap prestasi dan keselesaan luar biasa dalam segmen SUV.

“Kenderaan dalam segmen SUV sentiasa menarik minat pelanggan baharu yang lebih muda dan berkerjaya khususnya mereka yang mencari kelainan dalam segmen serba mewah.

“Malah, kami optimis tempahan model SUV mewah ini kerana syarikat mempunyai asas pelanggan yang kukuh untuk jenama ini,” katanya pada majlis pelancaran Rolls-Royce Cullinan di sini, semalam.

Cullinan mempunyai struktur badan tinggi mencecah 1.83 meter yang dikukuhkan dengan nisbah kaca dan logam di bahagian sisi.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 12:58pm
d