vroom

BMW perkenal Program Pakar Produk

Oleh Lizam Ridzuan

BMW Malaysia memperkenalkan Program Pakar Produk BMW (BMW Product Genius Programme) ke wakil pengedar mereka untuk menawarkan kepada pelanggan pengalaman tanpa tekanan, lebih peribadi dan premium.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, sebanyak tujuh Pakar Produk BMW yang terlatih disediakan untuk perkhidmatan khusus kepada pelanggan terutama dalam urusan pembelian.

“Pakar Produk BMW akan membantu bakal pembeli untuk pemilikan kenderaan yang sesuai buat keperluan mereka dengan interaksi peribadi tanpa tekanan bagi pengalaman lebih premium dari peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dimulakan sejak tahun lalu, pakar ini juga menggalas tanggungjawab sebagai duta jenama dan konsultan pelanggan berkecuali, melalui proses pemilihan yang teliti dan dilatih di bawah penyeliaan BMW Malaysia.

Selain lebih mesra, tugas utama mereka melangkaui peranan seorang penasihat jualan untuk pelanggan mengenali dengan lebih dekat setiap portfolio model BMW yang terdapat dalam pasaran, penganalisaan dan penerangan produk sehingga ke sesi pandu uji.

“Mereka dibekalkan dengan kemahiran untuk menjelaskan serta melakukan demonstrasi kegunaan setiap ciri dan fungsi yang terdapat dalam model BMW bagi keperluan yang bersesuaian dengan pelanggan,” tambahnya lagi.

Pakar Produk BMW kini terdapat di Lembah Klang di tiga pusat pengedarannya iaitu Auto Bavaria Kuala Lumpur, Auto Bavaria Glenmarie dan Ingress Auto Damansara.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 5:34pm
d