vroom

Jentera makin serasi

Oleh Lizam Ridzuan

Sempena ujian pramusim pasukan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, selain menguji keupayaan jentera, peluang yang ada juga diambil untuk pasukan bertemu peminat setia mereka di negara ini.

Antara mereka ialah Ducati Malaysia dengan kerjasama Shell Malaysia menyaksikan pelumba pasukan Mission Winnow Ducati Team, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci meluangkan masa untuk beramah mesra dengan peminat terpilih.

Dalam sesi berkenaan, peminat terpilih dibawa melawat kawasan pit untuk melihat operasi pasukan serta menyaksikan secara dekat jentera Desmosedici GP19 yang digunakan dua pelumba pasukan Ducati musim 2019.

Tambah menarik, peminat berpeluang menyaksikan model terkini Ducati Panigale V4 terbaharu yang dijana enjin 1,103cc serta limpahan kuasa 214hp pada 13,000rpm serta tork 124 Nm pada 10,000rpm.

Antara aktiviti menarik diadakan pada sesi berkenaan ialah menyaksikan pelumba melakukan ujian di litar umpama perlumbaan sebenar.

Ketika sesi ramah mesra, peluang bergambar dimanfaatkan sepenuhnya, malah peminat tidak melepas peluang mendapatkan tandatangan pelumba pada topi keledar.

Untuk rekod, ujian yang bermula awal bulan lalu itu menghadirkan keputusan positif buat Petrucci yang sudah mula serasi dengan jentera perlumbaan ketika dia mencatatkan tempat kelima terbaik pada hari pertama ujian.

Pada hari kedua, walaupun menunggang dalam cuaca panas dalam tempoh lama, Dovizioso berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan dengan kedua-dua pelumba memperbaiki catatan masa terbaik.

Pada hari ketiga, Petrucci sekali lagi memperlihatkan aksi memberangsangkan lalu muncul paling pantas untuk ketiga-tiga sesi ujian di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.

Kejuaraan MotoGP 2019 membabitkan 19 pusingan perlumbaan yang bermula minggu hadapan di Qatar dan kedua-dua pelumba tentu menjadi tumpuan selepas musim lalu, Dovizioso berjaya mencatat kedudukan kedua, manakala Petrucci pada kedudukan kelapan.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:01am
d