vroom

Aktif jelajah [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

Motosikal Modenas Dominar D400 diperkenalkan di pasaran tempatan awal 2018 hasil kerjasama strategik antara Modenas dan Bajaj Auto Ltd (BAL), pengeluar motosikal terbesar di India.

Jentera dikuasakan dengan enjin 400cc silinder tunggal itu menampilkan gaya sebuah motosikal ‘sport touring’ dengan ciri lasak sesuai untuk pelbagai permukaan jalan.

Sebagai menyokong perkembangan jenama itu di negara ini, melalui inisiatif pemilik, Dominar 400 Community Malaysia (D4CM) ditubuhkan pada Mei 2018.

Pengasas kelab yang juga Presiden D4CM Muhd Syaiful Ezzwan Yusoff berkata, pertemuan dengan beberapa pemilik lain di bengkel ketika menyelenggara motosikal adalah detik permulaan kepada kewujudan komuniti ini.

“Bermula dengan beberapa pemilik Dominar, kami memperkenalkan aplikasi ‘WhatsApp’ kelab ini bagi memudahkan urusan mengumpul data-data pemilik lalu.

“Kelab terus berkembang dengan keahlian kira-kira 100 orang dalam tempoh beberapa bulan selepas itu,” katanya yang bertugas sebagai jurukamera.

D4CM tidak berlengah dan mencipta nama dan logo kelab seperti apa yang digunakan ketika ini adalah hasil usaha dan kreativiti di antara kalangan ahli-ahlinya.

Seorang ahli, Shahril Md Shamshudin, 34, berkata, dia menyertai kelab itu bagi memudahkannya mendapatkan maklumat teknikal berkaitan motosikal selain bertemu pemilik lain yang berkongsi minat yang sama.

“Saya menggunakan motosikal ini sebagai pengangkutan harian ke tempat kerja dan amat mudah berkongsi maklumat penjagaan yang sesuai daripada kalangan ahli,” katanya yang berkhidmat sebagai penjawat awam.

Pendapat sama turut dikongsi Nur Arief Mohd Adzhar, 25, yang meminati aktiviti penjelajahan dengan motosikal.

“Amat penting untuk menyelenggara motosikal supaya sentiasa dalam prestasi terbaik.

“Motosikal ini sesuai untuk perjalanan jauh dan saya merancang untuk menunggang ke Thailand bersama ahli D4CM lain,” katanya yang bertugas sebagai penyelia tapak.

Kelab D4CM kini disertai hampir 300 ahli dari seluruh negara dan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti tunggangan pada setiap bulan.

Tambah Ezzwan, selain itu, aktiviti mingguan yang dianjurkan seperti Sesi Teh Tarik (TTS) sering digunakan untuk bertemu sambil berbincang perancangan kelab pada masa depan.

Mereka yang berminat untuk menyertai D4CM boleh melayari grup Facebook: DOMINAR 400 COMMUNITY MALAYSIA (D4CM).

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 8:03am
d