vroom

Ketahanan dinamik

Oleh Lizam Ridzuan

Bukan sahaja tampil dengan rekaan lebih mantap dan kemas, trak pikap Mitsubishi Triton 2019 yang dilancarkan baru-baru ini dilengkapi ciri terkini serta elemen keselesaan.

Untuk menguji model baharu itu, penulis dan wakil media permotoran tempatan dijemput oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ke Sabah bagi menilai keupayaan jentera generasi ke-5 ini terutama pada laluan lasak dan off-road.

Sebaik rombongan media tiba di Kota Kinabalu, hujan mengiringi konvoi kami sepanjang hari termasuk ketika acara pelepasan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

Shinnishi kemudian naik bersama penulis ke dalam kenderaan sama.

Destinasi pertama kami ke Tamparuli sejauh 35 kilometer (km) dari Kota Kinabalu.

Triton 2019 baharu ini dengan konsep pembangunan 4Sure Handling iaitu: 4Sure Power; 4Sure Control; 4Sure Agility dan 4Sure Safety yang memberi sentuhan termaju menyeluruh untuk pakej lengkap pada sebuah trak pikap.

4Sure Power

Triton serba baharu ini dikuasakan oleh enjin Turbodiesel MIVEC 2.4 liter dengan blok aluminium untuk kecekapan dan prestasi optimum.

Menjana kuasa kuda 181 PS dan tork 430 Nm ke empat-empat roda melalui kotak gear transmisi 6 kelajuan baharu yang ditambah baik untuk pertukaran gear lebih lancar.

Perjalanan di atas jalan raya terutama dari Nabalu ke Kundasang sejauh 75 km dan seterusnya ke Kota Kinabalu meliputi jarak sejauh 95 km membekalkan tenaga yang berterusan terutama pada laluan berbukit dan selekoh tajam.

Malah ketika melalui jalan lasak kuasa dan tork sentiasa menyalirkan tenaga yang bersesuaian ketika melepasi kawasan tanah lembut dan lembab.

4Sure Control

Antara elemen pembaharuan yang diperkenalkan ialah Triton baharu ini dilengkapi sistem Super-Select 4WD II Mitsubishi Motor dilengkapi mod Off-road baharu yang meningkatkan keupayaan pada permukaan off-road pada laluan seperti jalan batu kelikir, lumpur/salji, pasir dan berbatu.

Apabila fungsi ini dihidupkan, mod Off-road menguruskan kuasa enjin, transmisi dan brek yang disesuaikan mengikut keperluan tenaga dan permukaan jalan.

Di samping itu, Kawalan Menuruni Bukit (Hill Descent Control) secara automatik mengaplikasikan brek di permukaan cerun, membolehkan pemandu menumpu terhadap pengendalian kenderaan.

Semua sistem ini diuji ketika melalui kawasan laluan lasak sejauh 6 km di Tamparuli dengan kawasan berbukit dan curam ditambah dengan cuaca hujan membolehkan trak pikap ini melepasi setiap cabaran dengan baik dan memudahkan pengendalian kepada pemandu.

Walaupun tanah meliputi keseluruhan roda namun ia mengekalkan kelajuan dan pergerakan kenderaan yang ideal bagi mengelakkan daripada terbabas dan gelinciran maksimum.

4Sure Agility

Walaupun Triton ini bersaiz besar dan panjang, reka bentuk ikonik J-Line membolehkan pengendalian luar biasa, terutama radius pusingan terbaik di dalam kelasnya sebanyak 5.9 meter.

Ini membolehkan ia mempunyai ketangkasan di atas jalan selain boleh melepasi ruang sempit semasa parkir serta meredah laluan off-road.

Melihat dari segi rekaan luaran dengan konsep Dynamic Sheild pada bahagian bampar hadapan, susun atur lampu lebih kemas terutama pada lampu isyarat dan kabus dalam perumah sama.

‘Arch Wheel’ juga berbentuk separa bulat tampil melihatkan kenderaan ini lebih lebar dipadankan dengan rim bersaiz 18 inci (Adventure X dan Premium) menyerlahkan elemen sporty untuk trak pikap ini.

4Sure Safety

Menyentuh mengenai keselamatan Triton serba baharu ini, ia mempunyai kerangka jenis ladder yang tinggi tahap keteguhan dan tahan lasak serta struktur keselamatan berimpak tinggi pada kabin bagi memberikan penumpang perlindungan sebaik mungkin ketika kemalangan.

Ini disokong oleh sistem keselamatan aktif termaju dan bantuan pemandu merangkumi Pengurangan Pelanggaran hadapan (FCM), yang boleh mengesan kenderaan atau pejalan kaki di hadapan.

Untuk Amaran Titik Buta dengan Bantu Tukar Laluan (BSW dan LCA), ia membolehkan kenderaan lain dapat dikesan dari belakang melalui kelipan lampu pada cermin sisi serta memberi amaran untuk menukar ke lorong selamat.

Ia juga dilengkapi tujuh beg udara, Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Sistem Pengurangan Terlepas Pecutan Ultrasonic (UMS) dan Pancaran Tinggi Automatik (AHB).

Menjangkau kelasakan

Secara keseluruhan Triton baharu menawarkan pikap yang sesuai untuk kegunaan bandar atau menjelajah di laluan off-road.

Sabah sememangnya lokasi yang ideal untuk sesi pandu uji ini kerana memiliki faktor geografi pelbagai daripada kawasan landai ke tanah tinggi, laluan berliku, cuaca hujan dan berkabus antara yang sempat dirasai penulis.

Ruang dalaman juga diberi sentuhan baharu dengan elemen sport dan moden dirasai dengan padanan lembut pada kawasan kerusi seperti tempat rehat tangan dan brek parkir, disulam dengan dwi-jahitan untuk penampilan lebih premium.

Di samping itu, Triton baharu ini juga memiliki ciri tambahan iaitu pengecas telefon pintar di belakang dan kotak simpanan selain penyalur pendingin hawa dengan lohong individu untuk penumpang belakang.

Triton baharu ini diimport ke Malaysia sebagai kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) dari hab pengeluaran global Mitsubishi Motors di Thailand.

Ia adalah satu-satunya trak pikap (kategori sehingga 2.4 liter dalam pasaran Malaysia) dengan waranti lima tahun atau 200,000 km, yang mana lebih dahulu.

Lima varian ditawarkan iaitu Triton Adventure X pada harga RM135,200, Triton AT Premium RM118,600, Triton MT Premium RM112,500, Triton AT 105,990 dan Triton MT 100,200 dengan empat pilihan warna iaitu Putih Diamond, Hitam Jet Mica, Kelabu Graphite dan Perak Sterling.

MITSUBISHI TRITON

• ENJIN: 2.4 liter MIVEC turbo diesel DI-D Common Rail VGT

• KUASA MAKSIMUM: 181 PS pada 3,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 430Nm pada 2,500 rpm

• KAPASITI BAHAN API: 75 liter

• CIRI KESELAMATAN: Pengurangan Pelanggaran hadapan (FCM), Amaran Titik Buta dengan Bantu Tukar Laluan (BSW dengan LCA), tujuh beg udara, Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Sistem Pengurangan Terlepas Pecutan Ultrasonic (UMS) dan Pancaran Tinggi Automatik (AHB).

• HARGA: RM100,200 hingga RM135,200 (atas jalan, tanpa insurans)

Penulis menyertai sesi pandu uji Mitsubishi Triton baharu di Sabah baru-baru ini)

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 9:01am
d