vroom

Lebih mantap, kemas

Oleh Lizam Ridzuan

Model kenderaan sedan famili segmen D dari Korea, Kia Optima EX, tampil segar dengan sentuhan ciri baharu yang menyerlahkan rekaan, prestasi dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd Datuk Samson Anand George berkata, model itu kini lebih mantap bukan sahaja daripada segi kemasan malah didatangkan dengan Monitor Pandangan Sekitar (AVM) yang tiada pada model sebelumnya.

“Rekaan lebih menonjol dan ciri-ciri baharu menjadikan model Optima EX seakan model Optima GT dan lebih menyerlah daripada model lain dalam segmennya dengan tawaran yang memberi lebih nilai wang kepada pembeli,” katanya.

Dikuasakan dengan enjin Nu 2.0L CVVL, ia menjana kuasa pada 163 PS pada 6,500 rpm dan daya tork 196Nm pada 4,800 rpm dengan transmisi enam kelajuan automatik untuk pemanduan lebih mantap serta penggunaan bahan api efisien.

Ia turut dipasang dengan rim aloi 17 inci, lampu hadapan LED serta kombinasi lampu belakang dan kabus, rekaan gril hadapan corak garis menegak yang bergaya dan maskulin.

Sentuhan elemen teknologi dibekalkan dengan kerusi pemandu kuasa elektronik, brek parkir elektrik, kunci pintar, butang tekan mula dan paparan skrin tujuh inci berwarna yang boleh dihubungkan melalui ‘Apple CarPlay’ dan ‘Android Auto’ dengan AVM empat kamera untuk paparan 360 darjah sekitar kenderaan.

Optima EX baharu didatangkan dengan pilihan warna Aurora Hitam Mutiara, Salji Putih Mutiara dan Platinum Graphite disesuaikan dengan ruang dalaman hitam serta fabrik Rachel.

Ia dijual pada harga RM139,888 (tanpa insurans) termasuk lima tahun waranti tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:01am
d