vroom

Lasak dan efisien

Oleh Lizam Ridzuan

Bagi individu yang mahukan prestasi kenderaan utiliti sukan (SUV) sejati, jentera ini berupaya menjelajah laluan lasak dan pada masa sama, tetap terasa luas dan selesa.

Isuzu Mu-X mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2015. Ia dibangunkan daripada platform trak pikap D-Max dan kemudian melalui beberapa siri model baharu versi peningkatan (facelift) dan yang terkini diperkenalkan pada 2017.

Vroom Metro Ahad berkesempatan mengujinya baru-baru ini, menuju tanah tinggi Cameron Highlands dengan memandu varian daripada Mu-X 2.5L 4x4 automatik.

Melihat pada rekaan luaran, ia didatangkan rekaan gril hadapan agresif dengan kemasan krom serta lampu hadapan projektor dwi-LED bergaya, lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang kombinasi LED serta rim aloi 18 inci.

Sebagai model pacuan empat roda, ia juga dilengkapi tangga sisi dan rel bumbung. Agar kelihatan premium, ia dipadankan dengan pemegang pintu, kemasan bonet dan cermin sisi dengan kemasan krom.

Ruang dalamannya pula menawan dengan kerusi kulit Beige premium dan hiasan kayu pada beberapa bahagian menjadikan ia lebih mewah.

Selain sesuai untuk tujuh penumpang, tempat duduk yang fleksibel membolehkan anda membawa lebih muatan dengan merebahkan tempat duduk kedua untuk ruang 60:40 selain 50:50 bagi baris ketiga.

Kluster papan pemuka dilengkapi ciri grafik baharu dan sistem hiburan, termasuk monitor tersedia pada siling bumbung, antara elemen mesra keluarga yang datang bersama Mu-X.

Untuk pemandu sistem meter dan maklumat bercahaya, e-Lumax memudahkan maklumat penggunaan bahan api serta jarak ‘Trip’ perjalanan tersedia manakala stereng dengan fungsi audio dan ‘cruise’ memudahkan pengendalian jentera bersaiz besar ini.

Berkaitan pemanduan, ternyata enjin 2.5 liter Sistem Geometri Boleh Ubah (VGS) Intercooler Turbo Diesel tidak saja menjanjikan jentera yang sentiasa mengalirkan kuasa, malah yang paling utama ialah penggunaan bahan api paling efisien.

Perjalanan mendaki dan laluan di selekoh memberi kesan penggunaan tenaga yang lebih namun Mu-X dilimpahi kuasa kuda 136 PS.

Tork 320Nm pula menyalurkan kelancaran pada pelbagai kelajuan serta suspensi 5-Link untuk kestabilan dan cengkaman mantap.

Agar teguh di laluan lasak, ia ditambah dengan butang 2H, 4H dan 4L memberikan pengendalian terbaik sekaligus menjadikan ia SUV yang sesuai untuk kegunaan bandar dan lasak.

Bagi ciri keselamatan kenderaan, ia dilengkapi enam beg udara SRS, Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Mula Mendaki Bukit (HSA) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta ISO FIX.

Secara keseluruhan, Isuzu Mu-X adalah SUV serba boleh dengan keupayaan off-road sebenar, selesa dan berciri elegan juga sesuai untuk pelbagai kegunaan.

Penjimatan bahan api untuk model Isuzu menjadi kelebihan jenama ini dan Mu-X mencatatkan jarak perjalanan lebih 700 kilometer (km) bergantung pada corak pemanduan anda dengan isian penuh tangki 65 liter.

Walaupun lasak, ia berciri mesra keluarga dengan tujuh tempat duduk, sistem hiburan dan maklumat termasuk skrin DVD boleh lipat pada siling, konsol tengah dengan perehat tangan dan pengecas USB serta pendingin udara boleh laras untuk penumpang.

Penulis berharap, untuk generasi akan datang, Mu-X menerima sentuhan rekaan yang lebih baik terutama pada bahagian cermin di antara tiang C dan D untuk garis kontur yang agresif serta memberi ruang penglihatan lebih baik kepada penumpang baris ketiga.

Untuk pasaran Malaysia, Isuzu Mu-X dijual pada harga RM185,300 dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Ia didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu ‘Havana Brown Mica’, ‘Silky White Pearl’, ‘Titanium Silver Metallic’ dan ‘Cosmic Black Mica’. #vroomHM.

ISUZU MU-X T 2.5L 4X4 AT

• ENJIN: 2,499cc empat silinder selari VGS Turbo Intercooler DOHC 16V

• KUASA MAKSIMUM: 136PS pada 3,400rpm.

• TORK MAKSIMUM: 320Nm pada 1,800 hingga 2,800rpm.

• TRANSMISI: Lima kelajuan automatik dengan sequential shift

• CIRI KESELAMATAN: 6 Beg Udara SRS, Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Mula Mendaki Bukit (HSA) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta ISO FIX.

• HARGA: RM185,300 (atas jalan termasuk insurans)

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 9:00am
d