vroom

Honda tawar pelan insuran HiP

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

HONDA Malaysia menyarankan kepada semua pemilik Honda supaya melanggan skim Insuran Tambahan Honda (HiP).

Menurut kenyataan Honda Malaysia, HiP bersandarkan tiga asas kukuh iaitu menyelamat, melindungi selain simpanan untuk penyediaan liputan komprehensif terhadap kebajikan serta manfaat pelanggan.

“Dalam situasi tidak dijangka yang mungkin berlaku ketika berada di jalan raya, pasukan HiP dalam keadaan bersedia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dalam usaha membantu pelanggan.

“Pelanggan boleh menghubungi talian HiP di 1800181177 pada setiap masa. Perkhidmatan menunda meliputi kenderaan terbabit kemalangan, rosak atau banjir dan dihantar ke Pusat Badan dan Cat Honda yang sah.

“Dalam masa sama, ahli HiP akan sentiasa dibantu dan diberitahu oleh pengedar sah Honda yang ditetapkan untuk urusan tuntutan. Pelan insuran berkenaan turut menawarkan perkhidmatan pembaikan di tepi jalan tanpa caj kerja sehingga RM200 untuk satu kes sama ada ‘jump-start’, penggantian bateri, penukaran tayar pancit dan pengisian minyak tidak termasuk alat ganti,” katanya.

Sehingga kini, Honda Malaysia memiliki 23 Pusat Badan dan Cat Honda yang sah di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi dengan juruteknik terlatih dan dilengkapi alatan canggih.

“Sebagai tambahan, semua badan dan penggantian bahagian adalah 100 peratus asli dan hadir dengan jaminan enam bulan atau kiraan servis 10,000 kilometer. Pelanggan boleh memperoleh semula kenderaan mereka dengan segera melalui kelulusan tuntutan yang pantas terutamanya pra-tuntutan di bawah RM20,000 di Pusat Badan dan Cat Honda yang sah,” katanya.

Katanya, ahli HiP layak untuk perlindungan termasuk 100 peratus bayaran akibat kecurian atau kemusnahan penuh akibat kemalangan berdasarkan nilai diinsuranskan.

“Melalui pelan komprehensif HiP ini, pelanggan Honda menikmati ketenangan minda ketika berada di atas jalan dan perkhidmatan tanpa kerumitan dalam kejadian yang tidak dijangka,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 9:16pm
d