vroom

Lasak dan selamat

Oleh Lizam Ridzuan

MEMANDU di laluan lasak bukan semudah jalan raya biasa kerana ia bukan saja memerlukan kemahiran tinggi untuk mengawal jentera malah alatan terbaik bagi membantu melepasi segala cabaran perlu disediakan.

Paling utama ialah tayar yang sesuai bagi tujuan itu. Untuk itu, pengeluar tayar terkemuka dunia, Falken, memperkenalkan produk terbaharu ‘Wildpeak’ A/T3W, A/T3WA dan M/T01 ke pasaran tempatan.

Melalui pengedar eksklusifnya di negara ini, Stamford Tyres Malaysia (STM), tayar ini direka khusus untuk kepelbagaian laluan terutama laluan lasak dengan bebanan sesuai bagi kegunaan pacuan empat roda yang besar serta berkuasa.

Tayar Wildpeak A/T3W direka buat mereka yang gemarkan cabaran dalam apa jua keadaan dan cuaca.

Ia didatangkan dengan paten 3D Canyon Sipes dengan sebatian ‘silica’ yang akan memberikan prestasi hebat ketika berada pada permukaan basah.

Ini juga ada pada Falken Wildpeak A/T3WA yang dibina menggunakan beberapa teknologi baharu sebagai tayar serba boleh.

Ia turut sesuai digunakan pada permukaan tarmac yang menawarkan kestabilan pemanduan termasuk pada kelajuan tinggi.

Jenama kenderaan premium Mercedes Benz turut memilih tayar ini sebagai pengeluar produk tulen (OEM) mereka bagi model G-Class atau G-Wagon.

Untuk M/T01, ia adalah yang paling canggih dibangunkan oleh Falken melalui teknologi tiga dimensi DURASPEC Sidewall bagi mengharungi keadaan permukaan jalan yang mencabar.

Ia membantu dalam memberi perlindungan tambahan melalui lapisan yang ada di dalamnya. Ia dilengkapi teknologi ‘Heat Diffuser’ yang digabungkan pada bahagian bawah dinding tayar bagi melindungi komponen.

Paten Canyon Sipes 3D Tech ini juga akan memastikan sisi tayar dapat menahan bebanan yang tinggi serta memberi tahap kestabilan yang lebih baik ketika bergerak.

‘Aggressive Upper Sidewall’ memberi keseimbangan blok sisi tayar yang dapat melindungi daripada batuan tajam serta daya cengkaman luar tambahan termasuk pada situasi di bawah tekanan udara.

Manakala corak ‘Rugged And Rigid’ pula membantu menstabilkan dan memberi keseimbangan jika tayar terperangkap pada permukaan berbatu atau jalan tidak rata.

Untuk pasaran Malaysia, Falken menawarkan rang­kaian pilihan 25 saiz untuk tayar daripada rim bersaiz 15 hingga 20 inci sesuai untuk peminat tegar jentera laluan lasak.

Ia sesuai untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap di negara ini antaranya ialah Toyota Fortuner, Hilux dan Land Cruiser, Mitsubishi Triton dan Pajero Sport, Isuzu D-Max dan Mu-X, Nissan Navara, Mazda BT-50 dan Ford Ranger.

Untuk maklumat lanjut mengenai Falken Tires, layari laman web Falken Tyres Malaysia di www.stamfordtyres.com.my #vroomHM.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 5:00am
d