vroom

Panorama indah tasik nan membiru

Oleh Lizam Ridzuan

BARU-BARU ini penulis berkesempatan menyertai sesi pandu uji media Nissan X-Trail baharu dari pusat jualan, alat ganti dan mengecat (4S) Nissan di Jalan Glenmarie, Shah Alam, Selangor menuju ke Belum Rainforest Resort di Grik, Perak.

Tersedia 10 model daripada X-Trail 2WD Hybrid dan 2.5L 4WD buat penilaian wartawan permotoran tempatan akan kelebihan terhadap kawalan sistem ketika pemanduan serta prestasi enjin yang ditawarkan.

Destinasi pertama kami ialah ke Ipoh, Perak untuk makan tengah hari di Indulgence Restaurant & Living. Apa yang menarik tentang lokasi ini ialah mengekalkan konsep kolonial daripada banglo lama menjadikan ia tampil unik.

Selepas menikmati hidangan lazat, kami bergerak ke ke Movie Animation Park Studios (MAPS) untuk menguji ciri-ciri keselamatan Nissan X-Trail yang ditawarkan seperti Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (FCW), Membrek Kecemasan Hadapan Pintar (FEB), Bantu Lampu Tinggi (HBA).

Selesai menguji, perjalanan diteruskan melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke Kuala Kangsar dan seterusnya melalui Lenggong serta singgah berhenti di Tasik Raban.

Penulis mengambil kesempatan merakam gambar dengan tasik dan langit membiru menjadikan pemandangan sungguh indah sebelum meneruskan konvoi ke destinasi yang dituju.

Selepas melepasi pekan Grik kami berhenti untuk mengisi petrol dan kemudian melalui Lebuhraya Timur Barat yang terkenal dengan jalan berselekoh serta kawasan yang berbukit bukau merentasi Banjaran Titiwangsa.

Sepanjang 42 kilometer (km) perjalanan kami dapat menikmati panorama hutan menghijau sehinggalah tiba di laluan jambatan yang menjadi ikon Tasik Banding dan selamat tiba di Belum Rainforest Resort pada lewat petang.

Hutan Belum diwartakan sebagai Taman Negeri Perak diisytihar semula sebagai `The Royal Belum' oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah pada 31 Julai 2003.

Manakala Tasik Temenggor adalah tasik buatan manusia kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Kenyir adalah empangan bagi janakuasa hidroelektrik yang siap dibina pada tahun 1974.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 8:52am
d