vroom

Icona legenda

Oleh Lizam Ridzuan

FERRARI Monza SP1 yang dikeluarkan sebagai unit edisi terhad menerima Anugerah Red Dot: Reka Bentuk Produk 2019 sebagai Rekaan Terbaik.

Model ini dan sebuah lagi iaitu SP2 adalah pendahulu dalam konsep terbaharu yang dikenali sebagai ‘Icona’ yang bermaksud ikon.

Icona adalah penanda aras jenama Ferrari dalam menghasilkan kenderaan khusus bagi memenuhi permintaan pelanggan serta pengumpul kenderaan mewah.

Monza SP1 tampil unik dengan elemen rekaan pintar. Monza SP1 yang juga kenderaan satu tempat duduk moden diinspirasi daripada bentuk kenderaan siri perlumbaan ‘barchettas’ yang dihasilkan sekitar 1950-an di Itali.

Bentuk luaran dihasilkan daripada gentian karbon menjadikan keseluruhan kenderaan lebih ringan dan responsif. Pada masa sama, ia menampilkan gaya agresif umpama kereta lumba.

Model tanpa bumbung dan cermin pelindung angin ini hadir dengan rekaan lampu hadapan dinamik dan belakang nipis merentasi bahagian bonet yang menyerlahkan sisi moden padanya.

Padanan rim 21 inci lima jejari melengkapi gaya minimalis dan tampil sepadan dengan konsep mewah yang diketengahkan.

Bahagian dalaman ditumpukan dengan memberi fokus pada kerusi juga dihasilkan daripada gentian karbon yang dibalut dengan kulit direka kemas dan elegan.

Ini bagi disesuaikan dengan posisi badan pemandu yang berada di bahagian dalam dan kepala pada sudut pemandangan di atas kokpit bagi keselesaan maksimum.

Pada bahagian papan pemuka, ia dilengkapi instrumen moden serta terkini dengan stereng pelbagai fungsi termasuk untuk menghidupkan enjin dan ketersambungan telefon.

Nadi utama enjin 6.5 liter V12 petrol hasil teknologi Formula Satu (F1) untuk prestasi maksimum adalah yang paling berkuasa pernah dihasilkan untuk tenaga sebegini.

Ia menjana 800 kuasa kuda (hp) pada 8,500 rpm dan tork 719 Nm pada 7,000 rpm dengan pecutan dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 2.9 saat.

Melalui kotak gear transmisi tujuh kelajuan F1, Monza SP1 mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 300km/j.

Paling unik ialah ciri aerodinamik Pelindung Angin Maya yang akan melintasi skrin pada sisi pemandu terus ke bahagian bonet di mana sebahagiannya akan memasuki ruang kemasukan udara di bawah skrin bagi aliran lebih baik, terutama mengurangkan aliran pada bahagian kepala pemandu.

Selain Monza SP1, anugerah ‘Red Dot: Team Design of the Year’ turut diberi kepada unit reka bentuk Ferrari yang diketuai Flavio Manzoni.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Anugerah Red Dot, Prof Dr Peter Zec berkata, jenama Ferrari memahami dengan mendalam dalam menghasilkan kenderaan ‘super sport’ mewah yang menjadi keinginan ramai.

“Perekanya menggunakan teknologi terkini yang dizahirkan dalam bentuk bahasa rekaan yang menarik untuk mencipta pengalaman dalam pemanduan yang tiada tandingan,” katanya.

Selepas anugerah untuk model Ferrari FXX-K, 488 GTB, J50 dan Portofino, 2019 melihat Monza SP1 menerima penghargaan untuk reka bentuk inovatif dan nilai estetika tinggi, yang belum pernah dicapai oleh pengeluar automotif lain sebelum ini. #vroomHM

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 9:00am
d