vroom

Moped tangkas [METRO TV]

Oleh Lizam Ridzuan

MENUNGGANG motosikal ‘moped’ bukanlah di luar kebiasaan kerana penulis juga menggunakan motosikal sebegini dalam urusan seharian, namun berpeluang buat julung kali menunggang jentera diberi jolokan ‘raja jalanan’ adalah sesuatu yang berbeza.

Menerima tawaran menguji Yamaha Y15ZR V2 daripada pengedar utamanya, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini, tidak dilepaskan untuk Vroom Metro Ahad merasai prestasi sebenar motosikal ‘cub’ yang menjadi kegilaan ramai ini.

Sejak pengenalannya pada 2015, model Yamaha Y15ZR atau ‘Y Suku’ dalam kalangan peminat motosikal menjadi fenomena yang menakjubkan sebagai ‘cub’ paling berprestasi dengan rekaan menarik.

Pada awal tahun ini, model terbaharu iaitu V2 diperkenalkan dengan ciri-ciri termaju yang menambah dambaan ramai terhadapnya.

Antara yang paling ketara perbezaan lampu hadapan LED rekaan lebih sporty yang sangat jelas pada sebarang cuaca terutama ketika gelap.

Didatangkan dengan ciri tiga bahagian iaitu dua aras rendah dan satu tinggi bagi tujuan keselamatan agar mudah dilihat dari jauh.

Turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) pada bahagian pelindung hadapan.

Selain itu, panel meter daripada teknologi LCD sangat penulis gemari dengan speedometer baharu, rpm, trip, tahap penggunaan bahan api yang jelas serta boleh dilaras dengan mudah.

Rekaan corak grafik baharu juga sesuai dengan cita rasa pembeli daripada golongan muda dengan empat warna ditawarkan.

Namun penulis memilih kelabu dinamik dengan rim aloi kuning terang sebagai pilihan warna kegemaran melalui model yang ditunggang uji ini.

Untuk melengkapi ke mantapan rekaan Y15ZR baharu, ia dipadankan dengan roda hadapan lebih lebar 90/80 -17 inci berbanding 70/90 sebelum ini memberikan kawalan lebih stabil pada pelbagai permukaan jalan raya.

Paling mengujakan penulis ialah prestasi enjin dengan 150cc 4 lejang sejukan cecair SOHC yang menjana kuasa 15PS pada 8,500 rpm dan tork maksimum sehingga 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

Ia memberi kelancaran dengan kuasa yang responsif sama ada mencelah dalam kesesakan jalan raya atau menunggang di atas lebuh raya dengan kelajuan yang boleh mencecah 140 kilometer/sejam (km/j).

Pada pandangan penulis, ia sudah sangat laju buat sebuah moped.

Penggunaan gear basah, multiplat transmisi lima kelajuan ‘Constant Mesh’ menambah elemen sporty yang digelar ‘klac mati’.

Melalui tangki bahan api 4.2 liter, ia mampu menjangkau 130 kilometer dengan tunggangan agresif serta kelajuan maksimum namun pasti lebih jarak perbatuan boleh dicapai jika menunggangnya secara lebih santai.

Suspensi hadapan teleskopik dengan lengan hayun di belakang memberi keselesaan sama ada ketika menunggang solo atau bersama pembonceng.

Untuk keselamatan, brek cakera tunggal hidraulik hadapan dan belakang tersedia bagi memberhentikan motosikal dengan lebih baik.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Y15ZR V2 ini melengkapi sebuah jentera moped atau cub serta serba boleh untuk pelbagai tujuan kehidupan seharian yang tampil bergaya.

Selain mempunyai rekaan yang menarik berkonsepkan aerodinamik melalui kerangka ‘Backbone’ dengan panjang 1,970 milimeter (mm), lebar 670 mm dan tinggi 1,110 mm serta posisi tempat duduk 780 mm, ia sesuai untuk pelbagai ketinggian termasuk mereka yang rendah.

Berat keseluruhan sekitar 117 kilogram (kg), ia sangat mudah dikawal dan tangkas ketika ‘mencilok’ dalam kawasan bandar.

Ciri lain yang sangat penulis gemari ialah fungsi lampu kecemasan dan lampu ‘flash’. Kebiasaannya, ia hanya ditawarkan untuk motosikal berkuasa tinggi dan kini ada pada V2.

Selain kelabu, tiga warna lain yang ditawarkan ialah biru storm, merah blazing dan cyan striking.

Untuk pasaran Malaysia, Y15ZR V2 dijual pada harga asas RM8,168 dengan jaminan setahun oleh pengeluar atau 10,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Saksikan video tunggang uji di Metro TV yang menampilkan cabaran ‘Runner’ menggunakan jentera ini dalam menghantar barangan kepada pelanggan.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 5:01am
d