vroom

Redah laluan lasak

Oleh Lizam Ridzuan

BAGI membuktikan kenderaan mereka bukan sekadar gaya, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar utama kenderaan jenama Hyundai di negara ini, mempelawa media menguji model Santa Fe serba baharunya.

Kali ini, tampil sedikit berbeza yang mana kenderaan utiliti sukan (SUV) itu akan ‘dilenjan’ melalui laluan lasak untuk membuktikan ketahanan, keupayaan kuasa dan tenagaya.

Santa Fe generasi keempat itu diperkenalkan pada hujung tahun lalu pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018) dan pada Mei tahun ini, harga rasminya diumumkan.

Untuk pasaran Malaysia, dua enjin ditawarkan iaitu Theta II 2.4 MPI petrol dan R 2.2 CRDi Diesel dengan dua varian bagi setiap enjin menerusi ‘Executive’ dan ‘Premium’.

Untuk petrol, ia dipacu kotak gear transmisi enam kelajuan automatik bagi menghamburkan kuasa 172PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 225Nm pada 4,000 rpm.

Enjin diesel pula dilengkapi lapan kelajuan automatik dengan tenaga 193PS pada 3,800 rpm dan tork 440Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm.

Perjalanan sesi pandu uji hari itu dimulakan di Shah Alam, Selangor dengan 10 Santa Fe (meliputi semua varian) melalui beberapa lebuh raya di Lembah Klang sebelum menghala ke Semenyih dan seterusnya ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Pelbagai permukaan laluan dapat dirasakan termasuk tarmac hingga menyusuri denai lasak berlumpur di kawasan Kenaboi dengan suasana desa penuh kehijauan.

Tidak sekadar itu, Santa Fe itu juga diuji merentasi sungai bagi menguji jarak kelegaan tanah serta perbezaan agihan kuasa yang ditawarkan untuk roda.

Media diberi peluang memandu daripada kedua-dua enjin dan pada pandangan penulis, model R 2.2 CRDi diesel mempunyai kelebihan dengan sistem HTRAC pacuan semua roda (AWD) bagi tujuan itu.

Bukan saja lebih berprestasi dengan kawalan yang mantap pada jalan raya terutama selekoh dan untuk laluan lasak, tenaga dan tork yang disalurkan memudahkan kawalan melepasi halangan terutama berbukit dan laluan tidak rata.

Untuk petrol, ia turut menyalurkan kuasa yang bersesuaian tetapi bezanya, ia hanya dengan pacuan dua roda hadapan.

Bagi rekaan luaran, model itu tampak besar dan maskulin melalui gril hadapan signatur dengan lampu hadapan nipis terpisah dan lampu nyalaan siang (DRL) bergaya.

Ciri keselamatan standard sebagai antara yang terbaik ditawarkan iaitu enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Bantu Kawalan Bukit (DBC) dan Sistem Bantu Brek (BA).

Ruang dalaman dengan tujuh tempat duduk dengan penumpang hadapan menerima kerusi elektrik 12 larasan, paparan multimedia ‘terapung’ bersaiz 7 inci, ketersambungan Bluetooth dan Mengenalpasti Suara, Kawalan Pelayaran Automatik dan rak bumbung antara ciri lain ditawarkan.

Selepas menguji di laluan lasak, wakil media memandu pulang melalui laluan Empangan Semenyih terus ke Hulu Langat dengan jalan berselekoh bagi menguji keupayaan jentera SUV dalam segmen D ini.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Santa Fe dijual pada harga RM169,888 (Theta II 2.4 MPI Executive), RM189,888 (Theta II 2.4 MPI Premium), RM191,888 (R 2.2 CRDi Executive) dan RM211,888 (R 2.2 CRDi Premium). #vroomHM.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:00am
d