vroom

BMW 330i M Sport versi CKD

Oleh Lizam Ridzuan

SELEPAS enam bulan model BMW 330i M Sport dilancarkan untuk pasaran Malaysia, versi pemasangan tempatan (CKD) pula diperkenalkan baru-baru ini.

Melalui model import sepenuhnya sebelum ini, ia terjual lebih 350 unit.

Ia terus ditawarkan dengan spesifikasi sama yang mengekalkan ciri atletik untuk gaya sedan sport premium.

Dikuasakan dengan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo, jentera ini mampu menghemburkan kuasa sehingga 258 hp dan tork maksimum 400 Nm pada 1,550 hingga 4,400 rpm.

Selari dengan imej sport, ia dilengkapi transmisi lapan kelajuan Steptronic.

Ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 5.8 saat manakala penggunaan bahan apinya pula efisien iaitu sekitar 6.4 liter untuk 100km.

Rekaan lampu hadapan LED adaptif Bi-LED, rim aloi 18 inci dwiwarna jejari berkembar ‘Orbit Grey’ dan angkup brek cakera biru dengan logo ‘M’ serta gril ‘kidney’ yang lebih besar antara yang menyerlahkan lagi kereta ini.

BMW 330i M Sport ini juga hadir dengan rekaan kabin mempesonakan seperti stereng kulit M Sport, pedal penukar gear, lampu suasana, BMW ‘Live Cockpit Profesional’ bersaiz 12.3 inci dan Paparan Kawalan bersaiz 10.25 inci menerusi Sistem Operasi BMW 7.0.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, sedan sport premium generasi ketujuh ini adalah penanda aras dalam segmennya.

“Ia dipasang di kilang pemasangan di Kulim, Kedah bersama sembilan model BMW yang lain untuk penawaran harga yang lebih kompetitif,” katanya.

Lima warna ditawarkan iaitu Putih Alpine, Hitam Sapphire, Kelabu Mineral, Biru Portimao (boleh didapati pada Januari 2020) dan Oren Sunset (pada Mac 2020).

BMW 330i M Sport dijual pada harga RM288,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:00am
d