vroom

Legenda kembali

Oleh Lizam Ridzuan

SEJAK diperkenalkan ke pasaran pada 1978, ia adalah kereta sport yang menjadi kegemaran buat kebanyakan pasukan perlumbaan.

Kerana popularitinya, model ini turut muncul dalam permainan video ‘Gran Turismo’ dan ‘Need For Speed’ serta filem ‘The Fast & Furious’.

Baru-baru ini, UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan Toyota GR Supra A90 Serba Baharu ke pasaran tempatan.

Hanya satu varian disediakan dengan spesifikasi GTS dilengkapi enjin 3.0 liter enam silinder sebaris pengecas turbo.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa kuda 340 PS serta tork maksimum 500 Nm.

Supra ini juga boleh memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.3 saat.

Jentera ini dilancarkan dengan transmisi lapan kelajuan automatik talaan sport serta padanan rim aloi ringan bersaiz 19 inci.

Jentera ini juga memiliki nisbah agihan berat 50:50 untuk pemanduan dinamik yang mantap serta ciri ‘Adaptive Variable Suspension’ dan ‘Limited Slip Differential’ (LSD) elektronik yang dipertingkatkan.

Generasi kelima jentera ini juga membolehkan pemandu menyesuaikannya dengan beberapa talaan untuk kepelbagaian tujuan prestasi pemanduan dengan mengehadkan teknologi bantuan elektronik sedia ada.

Walaupun Toyota GR Supra A90 Serba Baharu model kenderaan prestasi, namun ruang dalamannya direka untuk keselesaan terutama untuk perjalanan jauh.

Bahagian kabin dilengkapi kehalusan buatan berkualiti tinggi, kawalan penyaman udara dua zon selain sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.

Kemewahannya juga dapat dilihat melalui kerusi balutan kulit larasan elektrik dengan sokongan lumbar, paparan pandang depan, cermin pandang belakang elektrokromatik dan audio dengan 12 pembesar suara JBL.

Lapan warna ditawarkan iaitu ‘Prominence Red’,‘Lightning Yellow’, ‘White Metallic’, ‘Deep Blue Metallic’, ‘Silver Metallic’, ‘Matte Storm Grey Metallic’, ‘Black Metallic’ dan ‘Ice Grey Metallic’.

Selain itu, GR Garage juga dibuka di cawangan Toyota terpilih dan yang pertama untuk pasaran luar Jepun dengan konsep kedai dalam kedai yang menjual produk Supra.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Supra A90 Serba Baharu dijual pada harga bermula RM568,000 dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:17am
d