vroom

Pemanduan selamat

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

INDIVIDU berminat untuk mengasah kemahiran pemanduan kenderaan boleh menyertai program ‘Global Driving Skills for Life’ (DSFL) Ford yang akan berlangsung di Sabah pada 16 dan 17 November hadapan.

Anjuran Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Ford di Malaysia, bertujuan mendidik pemandu mengenai kemahiran diperlukan dalam amalan pemanduan berhemah, melangkaui program pembelajaran pemanduan standard.

Pengarah Urusan SDAC Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, program utama tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Ford Motor Company itu sudah dilancarkan di 35 negara dan lebih 1,000 peserta menyertainya di negara ini.

“Program di Sabah akan dijalankan melalui latihan amali dan bengkel praktikal bersama jurulatih pemanduan yang berpengalaman.

“Diadakan selama sehari merangkumi kursus teori di bilik pameran Ford Kota Kinabalu, manakala kursus praktikal pemanduan pula akan dijalankan di Stadium Likas,” katanya.

DSFL juga memberi pendedahan dan menambah kemahiran pemandu untuk menangani gangguan serta fokus pada pemanduan, jangkaan bahaya, jarak dan ruang serta pengendalian kenderaan.

“Keselamatan jalan raya sentiasa menjadi topik utama kami dan DSFL membantu pemandu Malaysia untuk lebih bersedia dalam hal tidak dijangka di jalan raya,” katanya.

Program itu terbuka kepada semua pemandu Malaysia yang memiliki lesen memandu sah dan terhad kepada 30 peserta.

Peserta akan dilatih cara pemanduan pacuan empat roda yang selamat menggunakan Ford Ranger.

Maklumat lanjut mengenai program Ford DSFL boleh didapati dengan melayari www.sdacford.com.my/news/promote-safe-driving. #vroomHM.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 6:00am
d