vroom

70 tahun Honda [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

“MELIHAT kegembiraan orang lain adalah kegembiraan saya.” Prinsip itu menjadi pegangan pengasas Honda, Soichiro Honda yang menampilkan idea meletakkan enjin pada basikal selepas Perang Dunia Kedua.

Basikal itu pada asalnya dibangunkan untuk kegunaan harian isterinya sebelum ia kemudian diterima ramai dan diiktiraf.

Keghairahan dicurahkannya ke dalam enjin kecil itu terus hidup bersama Honda sehingga kini dan masa depan.

Bermula dengan penubuhan Honda Motor Co Ltd di Hamamatsu, Jepun pada 1948, pelbagai sejarah tercipta sehinggalah syarikat itu mencecah usia 70 tahun pada tahun lalu.

Pada 2019 pula, satu lagi sejarah tercipta apabila Siri N-Box menjadi model pertama Honda muncul nombor satu bagi penjualan kereta baharu bagi dua tahun berturut-turut di Jepun.

Tidak hairanlah, di edisi ke-46 Tokyo Motor Show (TMS) 2019 di Tokyo Big Sight, Tokyo, baru-baru ini, Honda menampilkan kereta serta motosikal yang pernah menjadi sejarah kegemilangan mereka, jentera masa kini, sukan perlumbaan permotoran dan jentera masa depan seperti motosikal serta kereta elektrik.

Presiden Honda, Takahiro Hachigo berkata, TMS memberi peluang kepada pengeluar di Jepun mencipta dan menunjukkan hasil dari negara itu kepada masyarakat di seluruh dunia.

Beliau berkata, pihaknya mahu pelawat ke ruang pameran Honda menikmati pengalaman sebenar mengenai produk yang membawa kegembiraan dan potensi kehidupan manusia menerusi Visi Honda 2030.

“Honda e:TECHNOLOGY adalah kunci utama untuk mencapai sasaran itu menerusi produk berasaskan elektrik dan menghasilkan kuasa serta tenaga seperti jana kuasa.

“Selain itu, Honda memperkenalkan teknologi yang menyambungkan produk menerusi tenaga dan elektrik seperti ‘Power Exporter 9000’.

“Honda mahu menawarkan nilai baharu yang unik kepada pelanggan kami membabitkan motosikal, automobil dan produk tenaga,” katanya.

Beliau berkata, mengenai automobil, pihaknya meningkatkan teknologi elektrik iaitu sistem hibrid dua motor yang menjimatkan minyak dan boleh dipasang pada kenderaan bersaiz kecil.

Menurutnya, di bawah Honda e:TECHNOLOGY, mereka memperkenalkan e:HEV untuk sistem hibrid bagi kenderaan menggunakan motor elektrik.

“Ia bakal digunakan pada Honda Fit dan Accord berwajah baharu yang dijangka berada di pasaran Jepun pada Februari tahun depan.

“Berbekalkan e:HEV sebagai pemacu utama, Honda akan meneruskan inisiatif melonjakkan jualan dua pertiga unit automobil global pada 2030,” katanya.

Beliau berkata, di TMS 2019, Honda turut melancarkan wajah baharu Fit atau lebih dikenali sebagai Jazz di beberapa negara.

Menurutnya, Honda mencipta Fit di Jepun pada 2001 dalam usaha menghasilkan kenderaan yang menjadi penanda aras baharu bagi kereta kompak.

Katanya, sejak itu, Fit menikmati reputasi tinggi sebagai kereta menampilkan pakej menakjubkan, jimat minyak, pemanduan berprestasi tinggi dan reka bentuk menarik sehingga mampu dijual lebih 7.5 juta unit di seluruh dunia.

“Kami percaya kereta ini akan menjadi penanda aras industri bagi era baharu sekiranya ia diminati bagi pasaran Jepun kerana memenuhi kehendak pelanggan di sini lebih sukar berbanding pengguna lain di seluruh dunia.

“Berbekalkan kepercayaan ini, kami bersedia dan ikhlas menemui pelanggan di Jepun dengan wajah baharu Fit yang lebih sempurna untuk membolehkan model Honda bermula dari sini sebelum menemui pengguna di negara lain.

“Kami membangunkannya bukan sekadar sebagai kenderaan, malah menjadikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian dan menjadikan mereka selesa serta gembira,” katanya.

Di pentas pameran pula, antara yang mencuri tumpuan adalah sejarah bermulanya ‘Wing’ bagi motosikal Honda yang menampilkan model sejak dulu hingga kini.

Turut dipamerkan motosikal serta jentera yang digunakan dalam sukan permotoran termasuk MotoGP dan Formula Satu.

TMS 2019 diadakan di dua dewan di Tokyo Big Sight iaitu Dewan Aomi dan Dewan Ariake.

Dewan Aomi membabitkan pempamer seperti Mitsubishi Fuso, Isuzu, UD Truck, Hino, Subaru, Toyota dan Daihatsu.

Manakala di Pusat Pameran Barat di Dewan Ariake pula membabitkan Honda, Kawasaki, Yamaha, Renault, Alpine, Nissan, Mitsubishi serta Suzuki.

Di Pusat Pameran Selatan dewan sama membabitkan smart Mercedes, Lexus, Mazda serta BMW. Tidak ketinggalan, syarikat alat ganti dan barangan elektrik.

Ia dianjurkan Japan Automobile Manufacturers Association, Inc. (JAMA) yang menampilkan kereta, motosikal serta kenderaan komersial.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 7:00am
d