vroom

Knight baharu

Oleh Lizam Ridzuan

DITAWARKAN sebanyak 120 unit sahaja, Mitsubishi Triton Knight diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh pengedar rasminya, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), baru-baru ini.

Hadir dengan warna Putih Diamond, ia tampil dengan kemasan luaran dan dalaman baharu yang menyerlahkan gaya serta lebih ranggi.

Antara pembaharuan ialah bampar hadapan dengan lapisan warna kelabu, pelindung bonet, sports bar, corak eksklusif pelekat grafik baharu, pelindung tingkap sisi dan penutup but tampil agresif.

Bahagian dalaman, Triton Knight dilengkapi plat pelapik pintu dan pelapik kaki dengan jahitan merah yang disulam perkataan ‘Knight’.

Seperti juga varian Triton Adventure X, model ini disediakan Monitor Keliling (ARM) dengan beberapa kamera diletakkan untuk fungsi pandangan ‘dari atas’ jika mahu parkir.

Menambah kelegaan, Perakam Video Pemanduan (DVR) disedia membolehkan segala visual perjalanan dirakam.

Selain itu. skrin sesentuh multimedia bersaiz tujuh inci dengan ketersambungan aplikasi Apple Carplay dan Android Auto menjadikan perjalanan lebih menarik dengan komunikasi dan muzik pilihan.

Mitsubishi Triton Knight dijual pada harga RM137,900 sama dengan harga jualan varian Triton Adventure X dan tambahan aksesori ARM hanyalah untuk tempoh terhad.

MMM juga kini menjalankan program kesetiaan untuk pemilik Mitsubishi Motors yang mahu membeli varian Triton terpilih berpeluang untuk rebat sehingga RM3,000.

Tawaran juga buat pemilik trak pikap yang ingin mendapatkan varian terpilih Triton juga layak mendapat rebat RM2,000.

Triton ditawarkan dengan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang menjana kuasa 181 PS dan tork 430 Nm serta teknologi VVT dengan transmisi enam kelajuan automatik (AT).

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:05am
d