vroom

Teknologi perlumbaan

Oleh Lizam Ridzuan

GOOD Year Malaysia memperkenalkan rangkaian tayar baharu Prestasi Tinggi Ultra (UHP) yang sesuai dengan permukaan jalan raya dan cuaca di negara ini.

Ia membabitkan siri Eagle F1 iaitu SuperSport RS, SuperSport R, SuperSport, Asymmetric 5 dan Asymmetric 3 SUV.

Siri Supersport dibangunkan untuk lebih cengkaman dan kawalan pada jalan dengan lapisan berbentuk-U dan ‘power zones’ untuk pengendalian lebih baik pada keadaan basah dan kering.

Sesuai bagi kegunaan kenderaan dalam segmen D dan kenderaan utiliti sukan (SUV), Asymmetric 3 SUV membantu mencapai jarak perbatuan yang lebih dengan rekaan corak tayar yang mengurangkan impak pada permukaan jalan dan jarak membrek lebih dekat melalui Teknologi Brek Aktif.

Pengarah Urusan Good Year Malaysia, Alex Ng berkata, selaku jenama yang sering terbabit dalam perlumbaan seperti NASCAR, Le Mans dan Kejuaraan Touring Car British, teknologi itu digunakan dalam membangunkan produk.

“Ia juga medan ujian berkaitan teknologi terbaik yang dibawakan kepada pengguna.

“Ia diuji di atas litar sebelum ditawarkan untuk pasaran,” katanya ketika pelancaran.

Siri lain seperti ‘Assurance’, ‘Efficient Grip’ dan ‘Wrangler’ juga diperkenalkan untuk pelbagai jenis kenderaan seperti sedan, kompak selain kenderaan lasak.

Model serba baharu Good Year juga bakal dilancarkan tahun hadapan untuk pasaran di Malaysia sesuai buat mereka yang mahukan tayar premium pada harga berpatutan.

“Setiap rekaan tayar dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna bergantung kepada gaya dan corak pemanduan

melalui pelbagai teknologi terkini seperti HydroTred dan QuietTred,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 5:05am
d