vroom

Motorrad kembara ke Bangkok

Oleh Lizam Ridzuan

AUTO Bavaria selaku pengedar kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad di negara ini buat julung kalinya menganjurkan program ekspedisi ‘BMW Mottorad Day’ ke Thailand.

Kembara selama enam hari sejauh kira-kira 3,000 kilometer (km) itu disertai lebih 20 pemilik motosikal jenama BMW.

Konvoi bermula di ruang pameran syarikat itu di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Motosikal ‘adventure’ dan jelajah merangkumi model R 1200 GS, R 1250 GSA, S 1000 XR, R 1200 GSA dan R 1200 RT menguji keupayaan penunggang, pembonceng serta jentera dengan perjalanan hari pertama bermula seawal jam 4.30 pagi.

Selepas melepasi sempadan Malaysia-Thailand sekitar jam 11 pagi, konvoi berkumpul di Hotel Vista Danok, Thailand untuk bertemu rakan konvoi yang turut serta dari Pulau Pinang.

Mereka kemudian bertolak menuju Route 41, Cowboy Town.

Di pertengahan jalan, konvoi sempat berhenti untuk menikmati pemandangan menarik selain bergambar di bandar itu.

Hentian seterusnya ialah di Nakhon Si Thammarat dan Surratthani sebelum peserta menamatkan tunggangan hari pertama di Hotel S22 di sana.

Antara cabaran awal diharungi peserta ialah, beberapa kilometer sebelum tiba di hotel, mereka perlu menempuh hujan lebat serta banjir namun semuanya dilepasi dengan baik dan selamat.

Hari kedua, peserta ke Prachuap Khiri Khan, Racthaburi dan Phra Nakhon Si Ayutthaya sebelum berhenti di MF Mottorrad Rama II di Bangkok.

Konvoi diiringi polis trafik dan marsyal setempat untuk ke Hotel Khao Yai.

Setakat itu, konvoi sudah meliputi perjalanan sejauh 1,500km dan ia adalah jarak yang menjadi idaman ramai ‘bikers’ sebagai pengisytiharan testimoni diri.

Hari-hari seterusnya, perjalanan diteruskan ke Nonthaburi, Cha-am dan Hua Hin serta lokasi BMW Motorrad Day di Nana Beach Resort, Chumphom.

Pelbagai aktiviti dianjurkan seperti Gala Dinner bagi menghargai sokongan pelanggan terhadap jenama BMW Motorrad yang dihiasi dengan persembahan dalam suasana meriah.

Meskipun perjalanan diiringi kereta sokongan, van ‘penyelamat’, kru teknikal, jurufoto serta juruvideo, pengalaman berada di atas motosikal adalah sesuatu yang paling bernilai untuk peserta.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 9:41am
d