vroom

Pacuan padu [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

MAZDA CX-5 2.5L Turbo boleh dikatakan sebagai ‘lengkap’ buat mereka yang mahukan kenderaan utiliti sukan (SUV) bergaya dan berprestasi.

Hadir dengan falsafah rekaan ‘Kodo- Soul Of Motion’ Mazda dengan gaya futuristik dan elegan, ia juga ditambah dengan beberapa ciri terbaharu untuk kemudahan pengguna.

Vroom Metro Ahad berpeluang memandu uji model ini bagi merasai perbezaan enjin suntikan turbo serta keselesaan yang ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luaran, ia sama dengan ‘empat’ lagi varian ditawarkan untuk pasaran tempatan namun kemasannya sedikit berbeza.

Lampu hadapan LED adaptif serta lampu nyalaan siang (DRL) lebih tirus menjadikannya lebih sporty manakala gril radiator hadapan luas menyerlahkan bentuk hadapan dengan sentuhan maskulin.

Untuk rekaan bahagian belakang, ia dilengkapi lampu LED dan pintu kargo ‘automatik’ dengan fungsi ketinggian yang boleh diprogramkan bagi kemudahan kemasukan barangan.

Garisan melengkung pula menghiasi permukaan pintu kargo berkenaan.

Ekzos berkembar selain antena ‘sirip jerung’ menambah gaya sporty dan prestasi manakala emblem 2.5T pada hujung pintu but membezakan ia dengan varian lain.

Rim aloi bersaiz 19 inci (225/55R19) dengan corak dua tona sepadan menyerap permukaan jalan tidak rata dengan baik selain menjadikan visual kenderaan lebih stabil.

Untuk ruangan dalaman, Mazda CX-5 2.5L Turbo diserlahkan dengan warna hitam dan kemasan elemen besi dan kayu pada papan pemuka serta pintu.

Tempat duduk dibaluti kulit selain memiliki fungsi memori dua kedudukan.

Untuk bahagian hadapan, kerusi pemandu disediakan dengan 10 larasan elektrik untuk kesesuaian posisi dan keselesaan.

Kerusi penumpang pula dilengkapi enam larasan.

Kerusi belakang bukan sekadar selesa malah dilengkapi dengan pelbagai fungsi seperti boleh dilipat untuk nisbah 40/20/40.

Bahagian perehat tangan dilengkapi ruang meletak gelas minuman yang disekalikan dengan dua pengecas USB.

Paling utama sistem multimedia baharu Mazda Connect bersaiz tujuh inci dengan fungsi ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Ia membolehkan telefon pintar anda berfungsi dengan sistem ini selain mampu untuk menjawab panggilan telefon.

Untuk fungsi meter, ia masih lagi analog namun terdapat tambahan meter TFT bersaiz tujuh inci di tengahnya dengan ‘Coloured Windshield Projection Display’ yang terpapar di hadapan cermin untuk pemandu lebih fokus.

Untuk pemanduan, antara kelebihan SUV segmen C ini ialah, ia dijana enjin 2,488cc Skyactiv-G Turbo DOHC 16 Injap empat silinder dengan VVT yang menjana kuasa 228hp pada 5,000 rpm dan kuasa tork 420Nm pada 2,000 rpm.

SUV ini menghasilkan kuasa seakan-akan enjin V8 namun tidak pada bahan apinya yang mencatatkan penggunaan efisien sekitar 8.2 liter untuk setiap 100 kilometer (km).

Prestasi terbaik daripada rpm rendah ke sederhana terhasil melalui kawalan Turbo Tekanan Dinamik yang pertama di dunia membolehkan darjah hemburan ekzos berlaku berdasarkan kelajuan enjin.

Dilengkapi dengan Skyactiv Drive enam kelajuan automatik dengan mod manual, pacuan semua roda (AWD), ia sentiasa mengalirkan tenaga dengan baik tanpa terasa kehilangan kuasa.

Malah melalui catatan brosur, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 220 kilometer sejam (km/j) sebagai ciri prestasi yang ditawarkan buat pemiliknya.

Kestabilan dan keselesaan untuk penumpang pula terhasil melalui penggunaan suspensi hadapan MacPherson Struts dan belakang Multi-Link.

G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) dibantu dengan Stereng Bantu Kuasa Elektronik (EPAS) pula memberikan radius belokan 5.5 meter sesuai untuk keluar masuk parkir sempit.

Secara keseluruhan, Mazda CX-5 2.5L Turbo ini memiliki kelebihan tersendiri seperti sistem infotainmen terkini dan paling penting, enjin janaan turbo memberikan kepuasan kepada pemanduan dalam aliran tenaga yang dihasilkan.

Melalui mod pemanduan biasa dan sport, penulis mencubanya mengikut kesesuaian sama ada ketika membawa keluarga, berseorangan atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Ternyata, enjinnya tidak mengecewakan sama ada daripada segi penjimatan atau keseronokan.

SUV ini turut dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti enam beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Dinamik dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD).

Ia turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantu Permulaan Bukit, Sistem Amaran Terkeluar Lorong (LDWS), Sistem Bantu Kekal Lorong (LAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA) dan Sistem Lampu Hadapan ‘Adaptive’ (AFS).

Ruang but yang luas juga menjadi kelebihan buat SUV ini. Ia berkapasiti sehingga 442 liter.

Namun, jika kerusi barisan belakang direbahkan, kapasitinya meningkat sehingga 1,342 liter.

Lapan pilihan warna ditawarkan iaitu ‘Soul Red Crystal’ (seperti yang dipandu uji), ‘Machine Gray’, ‘Snowflake White Pearl’, ‘Deep Crystal Blue’, ‘Sonic Silver’, ‘Meteor Grey’, ‘Jet Black’ dan ‘Arctic White’.

Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-5 2.5 Turbo dijual pada harga RM181,770 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun pengeluar dan penyelenggaraan percuma sehingga 100,000km atau yang mana lebih dahulu.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 1:21pm
d