vroom

Ronda Motorhome [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

PENINGKATAN taraf ekonomi penduduk Malaysia mewujudkan ‘keperluan’ baharu bagi menyeimbangi gaya hidup mereka yang mahukan sesuatu berbeza.

Motorhome atau karavan bukan asing di Eropah atau Amerika Syarikat (AS) kerana ia bagai kenderaan pilihan keluarga di benua itu untuk menjelajah ke lokasi menarik terutama ketika musim panas.

Melihat keseronokan serta keunikan yang ditawarkan, jenama Luxe Motorhomes & Caravans dan kenderaan Benimar mula dibawa masuk ke negara ini oleh WTA Ventures Sdn Bhd pada 2017.

Produk import sepenuhnya dari Sepanyol dan United Kingdom itu menawarkan pelbagai jenis serta saiz motorhome bagi disesuaikan dengan keperluan selain bajet pembeli.

Baru-baru ini, Vroom berkesempatan menyertai konvoi motorhome ke utara tanah air bagi merasai pengalaman berkhemah gaya premium ini.

Lima kenderaan terdiri daripada campervan, karavan dan motorhome berkonvoi bermula di ibu pejabat WTA Ventures di Klang, Selangor menuju ke Risda Eco Park, Ladang Risda, Ulu Slim, Perak.

Kebanyakan peserta terdiri daripada golongan berkeluarga dan memilih aktiviti sebegini sebagai kegiatan rekreasi pilihan selain mahu mendedahkan anak kepada kehidupan aktif berkaitan alam semula jadi.

Selepas dua jam perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan dan menyusuri susur keluar di Behrang, konvoi selamat tiba dan memilih tapak parkir masing-masing sebelum menyiapkan kenderaan untuk bermalam di situ.

Penulis berpeluang memandu motorhome Primero 331 dikuasakan dengan enjin Fiat Ducato 2.3 liter turbo diesel.

Ia menjana kuasa kuda 130hp dilengkapi dengan dua katil (sesuai untuk empat orang), kabinet, tandas, sinki dan ruang simpanan.

Selepas parkir, kami memasang ‘awning’, kerusi dan meja bagi kemudahan menikmati makan malam dan begitu juga dengan ahli konvoi yang lain.

Selepas siap, kami ambil peluang mandi-manda di sungai berdekatan kawasan perkemahan dan sebelum senja kami menyiapkan diri untuk solat dan makan malam.

Pada sebelah malam, lokasi yang sunyi dan cuaca yang semakin sejuk itu digunakan oleh semua ahli untuk berbual-bual sambil bertukar-tukar fikiran tentang minat mereka.

Salah seorang peserta konvoi yang juga pemilik pertama motorhome Mileo 202 di negara ini, Abdul Nasir Abdan berkata, dia membeli kenderaan itu pada awalnya untuk digunakan dalam urusan kerja.

“Kerja saya memerlukan saya ke luar kawasan untuk tempoh agak lama.

“Ada kalanya perlu bermesyuarat serta tinggal di sesebuah lokasi untuk tempoh lama. Motorohome dilihat sesuai untuk tujuan itu dan kini ia juga digunakan untuk membawa keluarga bersiar-siar,” katanya yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

Seorang lagi peserta, Steven Kok dari Segamat, Johor yang baru saja membeli sebuah Campervan import terpakai berkata, dia sangat meminati keindahan alam sekitar dan mahu keluarganya juga menanam minat sama.

“Ini julung kali keluarga saya turut serta dan masih banyak pengalaman yang ingin dikumpul dalam mencari lokasi menarik di seluruh negara,” katanya.

Jika sebelum ini motorhome baharu dijual pada harga sekitar RM400,000 hingga RM650,000, kini ada pilihan lain seperti Campervan (import terpakai) yang dijual pada harga bermula RM55,000; motorhome (import terpakai) bermula RM120,000 dan karavan (ditarik pada kenderaan lain) pada harga bermula RM80,000.

Sememangnya aktiviti ini memberi satu gaya baharu dalam dunia perkhemahan mewah malah boleh digunakan untuk menghayati keindahan alam sekitar.

Pada masa sama, bagi menarik lebih ramai orang menggunakan kenderaan ini, lebih banyak taman karavan perlu disediakan dengan kemudahan asas seperti sambungan elektrik, tandas dan ruang mandi kondusif.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 7:00am
d