vroom

Lebih kuasa dan efisien

Oleh Lizam Ridzuan

SEBAGAI pengeluar kenderaan pada kedudukan ke-13 di dunia paling pantas berkembang, Zhejian Geely Holding Group (Geely) sememangnya mempunyai kepakaran dan kemampuan menghasilkan pelbagai teknologi dalam pasaran automotif.

Ditubuhkan pada 1986, ia mencatatkan jualan 1,361,560 unit kenderaan pada 2019 dan ketiga terbesar di China melalui penawaran empat model iaitu Xing Yue, Jia Ji, Borui GE dan Boyue (X70).

Ia yang juga pemegang 49.9 peratus ekuiti Proton sejak 2017 dan bakal melengkapi model baharu dengan teknologi yang seiring perkembangan semasa termasuk trenkuasa (powertrain).

Selepas setahun Proton X70 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, versi pemasangan tempatan (CKD) bakal diperkenalkan apabila pengeluaran model edisi 2020 di Tanjung Malim, Perak dimulakan Disember tahun lalu.

Paling menarik ialah ia dipadankan dengan trenkuasa baharu enjin 18TD generasi ketiga dengan 7 Trasmisi Dwi-Klac (DCT) menggantikan 6AT sebelum ini.

Untuk melihat dengan lebih dekat teknologi dan kepakaran Geely, Proton membawa beberapa media permotoran tempatan melawat satu daripada tujuh kilang trenkuasa Geely di China, baru-baru ini.

Terletak di Ningbo, selain pengeluaran, lokasi itu juga menempatkan pusat kajian dan pembangunan (R&D) yang turut terdapat di lokasi lain seperti di Hangzhou (China), Coventry (United Kingdom), Gothenburg (Sweden) serta Frankfurt di Jerman.

Mengikut evolusi penghasilan trenkuasa Geely, 1.8TD ialah platfrom pertama enjin (Gen 1) paling efisien yang dibangunkan oleh mereka dengan teknologi Suntikan Terus Bahan Api+Turbo (TGDI) yang menerima penarafan sebagai 10 Enjin Terbaik di China pada 2015.

Ia kemudian membangunkan enjin generasi kedua (Gen 2) melalui penambahbaikan pada prestasi yang juga menerima penarafan enjin terbaik pada 2016 dengan sistem pembakaran dipertingkatkan, kebisingan, gegaran dan kekasaran (VNH) juga semakin dikurangkan.

Untuk enjin generasi ketiga (Gen 3) ia bakal dipadankan dengan kotak gear 7 kelajuan DCT yang bukan saja lebih efisien malah menambah kuasa tork seakan-akan enjin yang dijana kapasiti 3.0 liter.

Kelebihan enjin ini ialah, ia mampu menjana tork maksimum sehingga 300Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm adalah lebih 5.5 peratus berbanding 285Nm (Gen 2) dan lebih 20 peratus berbanding 250Nm (Gen 1).

Padanan enjin dan 7DCT ini, selain tahan lebih lasak, ia membantu kehilangan kuasa dengan memisahkan kawalan melalui sistem hidraulik, penukaran gear kuasa elektrik dan proses mengepam bahan api efisien.

Rekaan perumah dioptimumkan bagi mengurangkan ‘splashing’.

Untuk perlindungan jangka masa panjang, Geely membangunkan cecair khusus untuk sistem DCT yang mengurangkan kelikatan dengan penggunaan yang minimum.

Semua itu menghasilkan kuasa daya tork yang responsif, membantu mengurangkan lebihan tenaga, kawalan aliran bahan api mengikut keperluan serta tukaran gear lebih lancar.

Kilang di Ningbo dilengkapi teknologi termaju. Ia menggunakan hampir 70 peratus teknologi robotik dan mesin dalam menghasilkan komponen trenkuasa dengan kapasiti pengeluaran 600,000 unit setahun daripada 1,300 tenaga kerja.

Keupayaan Geely 7DCT ini juga diuji di beberapa lokasi di seluruh dunia merangkumi kawasan paling sejuk sekitar -30 darjah Celsius sehingga kepanasan 40 darjah Celsius dengan pelbagai jenis dan permukaan jalan serta altitud.

Ia adalah kotak gear dengan plat klac basah paling efisien dihasilkan Geely.

Selain lawatan ke kilang, wakil media juga diberi kesempatan menguji model Geely Boyue (X70) dengan enjin terbaharu (7DCT330) dan kotak gear transmisi 7 kelajuan DCT.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 6:01am
d