vroom

Prestasi tunggangan lebih tinggi

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MODENAS selaku pengedar motosikal nasional negara dengan kerjasama Bajaj Auto Ltd dari India memperkenalkan varian baharu Pulsar N200 yang dilengkapi sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dipadukan enjin 200cc DTS-i berkuasa 24hp dan tork 18.6Nm, varian baharu ini menawarkan pengalaman tunggangan lancar dengan penjimatan bahan api terbaik.

Dengan motosikal varian baharu ini, Modenas menawarkan prestasi menunggang ke peringkat lebih tinggi kepada pemiliknya.

Berbanding Pulsar NS200 yang dikeluarkan pada 2017 dengan jualan lebih 6,300 unit, NS200 kini dilengkapi brek cakera tunggal dengan ABS jenis Bybre yang mampu membantu penunggangnya mengawal jentera berhenti secara mengejut.

Lebih menarik, model ini adalah jentera pertama di dunia yang menggunakan ‘Triple Spark Technology 4 Valve Engine’ untuk memastikan enjin mendapat kuantiti udara yang banyak sekali gus membantu pembakaran tiga palam pencucuh dengan cepat.

Model yang mempunyai kerangka lebih ringan ini juga mampu mencapai kelajuan daripada 0 sehingga 60 kilometer sejam dalam tempoh 3.6 saat dan mencapai kelajuan tertinggi sehingga 136 kilometer sejam.

Pada masa sama, motosikal ini turut dilengkapi penyerap hentakan tunggal menggunakan ‘Nitrox Shock Absorbers’ di belakang dan penunggang boleh membuat penalaan terhadap suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan lebih baik.

Motosikal ini menggunakan cecair penyejuk untuk menambah jangka hayat enjin dan mengelakkan ia terlalu panas apabila menempuh perjalanan jauh.

Jentera ini turut dilengkapi meter digital

dan analog.

Keunikan motosikal ini boleh dilihat pada tangki minyak dan lampu yang dihasilkan supaya kelihatan seperti ‘street fighter’ selain setiap suis dilengkapi lampu menampakkan motosikal kelihatan lebih futuristik.

Penulis turut berkesempatan menunggang uji motosikal ini dalam ‘Exclusive Media Ride-NS200 ABS Version’ bersama 17 peserta terdiri daripada pelbagai organisasi media baru-baru ini.

Peserta diberi peluang menunggang motosikal Pulsar NS200 ABS dari EON Glenmarie, Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka dengan perjalanan sejauh 278 kilometer di lebuh raya serta jalan biasa.

Secara keseluruhan, sebagai penunggang baharu, penulis akui selesa dan mudah untuk mengendalikan jentera ini.

Di Akademi DRB-Hicom Port Dickson, peserta turut berpeluang menonton demonstrasi membabitkan motosikal Pulsar NS200

dan Pulsar NS200 dengan ABS.

Untuk pasaran tempatan, Pulsar NS200 ABS dijual pada harga RM9,655 dengan empat warna pilihan iaitu hitam, putih, merah dan kuning.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 6:30am
d