vroom

Gaya 'crossover' terkini [METROTV]

Oleh Nurul Husna Mahmud

BERADA lebih empat jam dan mengharungi perjalanan tidak kurang 200 kilometer dalam perjalanan sehari menaiki kereta bukan momen ‘bahagia’ buat pemandu mahupun penumpang.

Apatah lagi kenderaan kendalian kali ini baharu dan mengetahui pula jenis kerangka besar serta memiliki enjin berprestasi tinggi, ternyata mengundang debaran kerana berbeza dengan rutin pemanduan penulis sehari-hari yang mengendalikan model kompak.

Bagaimanapun, sebaik memandu Mazda CX-30 ketika sesi pandu uji yang bermula dari Palm Garden Golf Club, Putrajaya sehingga ke The Acres Resort, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, ia cukup selesa dikendalikan.

Gambaran jujur spesifikasi model ini tidak keterlaluan buat pemandu wanita waima pemandunya adalah ‘mak cik’ berusia 60-an.

Ia mempunyai sisi yang cukup ‘seksi’ sesuai dengan pengenalannya sebagai generasi baharu dalam kenderaan utiliti sukan (SUV)’crossover’.

Lihat saja pemandangan sisi model generasi baharu ini menerusi ‘bentuk S’ pada panel pintu apabila dikaitkan dengan simbolik kaligrafi Jepun kerana jenama Mazda itu sendiri dihasilkan di negara matahari terbit itu.

Buat peminat automotif atau yang mengikuti perkembangan model Mazda, pasti sedia maklum mengenai falsafah rekaan ‘Kodo’ yang diketengahkan pengeluar kereta Jepun itu.

Kodo menerapkan tiga elemen penting dalam rekaan kereta apabila ia kelihatan bertenaga tatkala bergerak menerusi Yohaku (keindahan ruang kosong), Soru (lengkung dengan keseimbangan dan keseimbangan) dan Utsuroi (interaksi cahaya dan bayangan).

Meskipun prinsip itu pernah diadaptasi pada model CX-3 dan CX5, ada perincian tertentu dikemaskan seperti gril krom yang lebih rapat ke dalam dan memanjang hingga ke lampu utama membuatkan ia tampak lebih ‘sleek’.

Sementara itu, garisan bumbung model ini lebih landai. Ia memberi kelebihan supaya lengkungan coupe dengan C-pillar tampak menonjol.

Kemasan lampu hadapan LED adaptif dan lampu nyalaan siang (DRL) tidak menghampakan.

Ia lebih tirus seterusnya membuatkannya tampak ‘sporty’. Gril radiator hadapan yang luas menyerlahkan bentuk depan seterusnya memberi imej tegap di atas jalan.

Ruang but luas sehingga 430 liter membolehkan ia dimuatkan dengan bagasi dan pelbagai barangan keperluan menjadikan ia antara kenderaan mesti dimiliki oleh pemandu berkeluarga.

Segmen kegemaran penulis ialah perincian aspek keselamatan diterapkan dalam model kali ini.

Ia hampir sama dengan kit yang ada pada Mazda 3 iaitu perlindungan menerusi tujuh beg udara termasuk di bahagian lutut pemandu.

Ia turut dilengkapi Mazda i-Activsense termasuk sistem Driver Monitoring, Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS) - untuk kawalan kelajuan adaptif kelajuan rendah.

Untuk kuasa, enjin 2.0 liter petrol menyalurkan kuasa maksimum 163hp pada 6,000rpm dan tork mencecah 213Nm pada 4,000rpm.

Bagi enjin diesel 1.8 liter pula, ia mampu menjana kuasa sekitar 114hp dengan tork puncak 270Nm antara 1,600 sehingga 2,700rpm.

Kuasa daripada kedua-dua enjin itu yang disalurkan ke kotak gear automatik enam kelajuan Skyactiv adalah memadai apabila ia memberi lajakan ‘bertenaga’ dan lancar ketika laluan mendaki selain laluan berkerikil ketika memasuki destinasi rehat di The Acres Resort.

Kelebihan khas daripada pengamatan penulis ialah visual pandangan hadapan lebih luas kerana potongan tinggi kenderaan ini.

Ia membolehkan pemandu meninjau lebih jauh berbanding kenderaan potongan sedan mahupun kompak.

Ini menjadikan tindakan memintas kenderaan lain di lorong laju lebih selamat. Pemandu juga lebih yakin untuk terus mengendalikan kenderaan dengan cermat.

Mereka yang berminat atau merancang menukar kenderaan lama kepada kenderaan lebih selesa dengan model ini boleh memilih tujuh pilihan warna seperti merah, kelabu, perak, hitam, biru, putih mutiara dan kelabu metalik.

Untuk pasaran Malaysia, tiga varian ditawarkan iaitu 2.0G, 2.0G High dan 1.8D High dijual pada harga RM143,059, RM64,059 dan RM172,943.

Ia ditawarkan bersama lima tahun jaminan atau 100,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu serta penyelenggaraan percuma untuk tempoh sama.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 7:30am
d