vroom

Bergabung kumpul dana

Oleh Lizam Ridzuan

BAGI mengumpul dana selain kempen kesedaran berkaitan tapir Malayan (tenuk Malaysia) yang kian terancam, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menjalin kerjasama dengan pembuat pakaian tempatan, Tarik Jeans.

Melalui koleksi ‘Modern Nostalgia’ yang eksklusif, ia menampilkan elemen rekaan kedua-dua jenama itu yang digabungkan dengan konsep vintaj dan klasik tempatan.

Antara barangan yang boleh diperoleh ialah kemeja-T, topi, bandana, rantai kunci dan pelekat baju dengan corak menarik, sesuai buat peminat seni dan permotoran negara ini.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tarik Jeans untuk inisiatif ini apabila Kumpulan Volkswagen sudah terbabit dengan 500 projek seperti itu di seluruh dunia.

“Tapir Malayan adalah spesies terancam selain harimau Malaya, gajah Borneo dan orang utan. Haiwan ini memainkan peranan penting dalam hutan hujan tropika untuk kepelbagaian habitat biologikal,” katanya.

Untuk rekod, dianggarkan hanya kira-kira 3,000 tapir yang tinggal di kepulauan Sumatera, Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Tapir mempunyai jangka hayat sehingga 30 tahun.

Ia semakin berkurangan akibat pembangunan tapak pertanian, pembalakan dan diburu untuk dijadikan makanan eksotik serta penyeludupan secara haram.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tarik Jeans, Afiq Iskandar berkata, pihaknya bangga dapat melakukan usaha sama bersama Volkswagen.

“Kedua-dua logo dan elemen akan digabungkan dalam rekaan barangan Tarik Jeans dan sempena ulang tahun ke-10 jenama ini, ia juga sebagai simbolik untuk kapsul koleksi rekaan retro-futrisma Malaysia dan pada masa sama membantu kempen selamatkan tapir Malayan ini,” katanya.

Barangan daripada koleksi ‘Modern Nostalgia’ ini boleh diperoleh di laman web Volkswagen dan Tarik Jeans, Shopee, Zalora serta semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Lima puluh peratus daripada jualan kempen ini akan disalurkan ke Hutan Simpan Kenaboi,

Negeri Sembilan pada Hari Tapir Sedunia, 27 April ini.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 6:45am
d