vroom

Super GT 2020 kembali di malaysia

Oleh Lizam Ridzuan

SELEPAS enam tahun tidak diadakan, perlumbaan Super GT Series kembali ke negara ini melalui penganjuran Super GT Malaysia Festival 2020 pusingan ke-5 berlangsung pada 16 hingga 19 Julai hadapan.

Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), ia akan dianjurkan pada sebelah malam.

Ia juga julung kali diadakan pada waktu malam sejak perlumbaan ini diperkenalkan di Jepun pada 1993.

Selain Malaysia, perlumbaan turut diadakan di Thailand membabitkan lapan pusingan Autobacs Super GT Series 2020 ini.

Perlumbaan di negara ini dianjurkan oleh Haro Sports & Entertainment yang juga pemegang hak dan promosi Super GT Malaysia Festival 2020.

Ia dilantik oleh GT Association Ltd (GTA) dari Jepun.

Rakan Pengurusnya, Fahrizal Hasan berkata, selain perlumbaan, turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan sesuai untuk semua peringkat usia serta golongan.

“Kami menyediakan ‘pit’ dan ‘grid walk’ untuk

kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, konsert artis tempatan dan antarabangsa selepas perlumbaan, pameran auto dan

banyak lagi,

“Paling menarik, pengunjung berpeluang memenangi sebuah Toyota GR Supra jika berjaya meneka dengan tepat pemenang perlumbaan di SIC ini,” katanya pada perasmian.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Melalui kerjasama acara Art of Speed (AOS), Auto Expo juga akan diadakan di grandstand utama SIC yang memaparkan pelbagai kenderaan, produk dan barangan gaya hidup berkaitan dunia permotoran tempatan termasuk kelab kereta.

Pasukan dari Malaysia menyertai perlumbaan ini melalui slot ‘Wild Card’ dengan pelumbanya ialah Jazeman Jaafar dan Datuk Andrian da Silva.

Kedua-duanya akan bersaing dalam GT300 Class.

Autobacs Super GT Series 2020 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama pada April, seterusnya ke Litar Fuji Speedway dan Litar Suzuka pada Mei.

Ia kemudian akan ke Litar Antarabangsa Buriram di Thailand dan SIC pada Julai sebelum ke pusingan ke-6 di Sportsland Sugo pada September.

Pusingan ke-7 akan diadakan pada Oktober di Autopolis International Racing Course dan acara akhir di Twin Ring Motegi pada November.

Super GT ialah dengan format perlumbaan ‘endurance’ sejauh 300 kilometer (km) hingga 1,000km dengan dua pemandu setiap pasukan melalui dua kategori iaitu GT500 dan GT300.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 6:35am
d