vroom

Ford perkenal Ranger Raptor 2020

Oleh Lizam Ridzuan

FORD Ranger Raptor baharu diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan oleh pengedarnya di negara ini Sime Darby Auto ConneXion (SDAC).

Pengarah Urusannya Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata trak pikap premium itu kini ditawarkan dengan ciri keselamatan tambahan dan bantuan pemanduan pintar.

“Selain tampil bergaya di atas jalan raya bagi kegunaan harian, ia juga mampu merentasi laluan lasak pada sebarang kelajuan yang kini menjadi revolusi pasaran trak pikap di negara ini,” katanya.

Antara ciri terkini yang terdapat pada model ini ialah Brek Kecemasan Autonomi dengan Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Rempuhan Hadapan serta Amaran dan Bantuan Kekak Lorong.

Selain itu port pegecas USB tambahan pada cermin belakang dan lampu hadapan LED antara pembaharuan yang terdapat pada model ini.

Ford Ranger Raptor dijana enjin 2.0L Bi-Turbo dengan kuasa 213 PS dan tork maksimum 500Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Ia tampil prestasi dengan peredam hentakan FOX Racing Shox dan Sistem Pengendalian Permukaan (Terrain Management System) dengan enam mod termasuk Mod Baja dan mampu meredah permukaan air sedalam 850 milimeter (mm).

Ford Ranger Raptor dijual dengan harga bermula RM208,888 (atas jalan, tanpa insurans) dengan empat pilihan warna iaitu Ford Performance Blue, Conquer Grey, Absolute Black dan Arctic White.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk sebarang pertanyaan dan tempahan model-model Ford, mereka memperkenalkan Jurujual Digital melalui talian Whatsapp 019- 2041200 yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang atau layari www.sdacford.com.my.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 6:34pm
d