vroom

SUV sporty premium [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

KEBANYAKAN kenderaan utiliti sukan (SUV) direka dengan gaya yang sporty dan lasak, namun jika mahu tampil lebih premium, model ini ada jawapannya.

Vroom berkesempatan menguji Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe.

Ia satu daripada tiga pilihan yang ada di negara ini yang menampilkan gaya karakter coupe pada SUV.

Berdasarkan reka bentuk luaran, ia dilengkapi ‘Night Package’ dan aksesori AMG Line menjadikan ia tampil berbeza daripada model standard.

Bahagian gril berlian dan bampar hadapan dengan liang kemasukan udara bercirikan aerodinamik selain lampu multibeam LED serta lampu nyalaan siang (DRL) menyerlahkan gaya sporty kenderaan ini.

Ia dipadankan dengan rim aloi lima jejari 20 inci AMG dan apron sport dan bampar belakang yang bersepadu dengan paip ekzos berkembar serta lampu ciri LED gaya kontemporari.

Menjengah ke ruang dalaman, kerusinya dibaluti kulit selain dilengkapi larasan elektrik dan fungsi memori.

Lampu suasana, roda stereng AMG super-sport pelbagai butang fungsi dengan balutan kulit Nappa dan kawalan penyaman udara Thermotronic automatik serta pad sesentuh multimedia pada konsol tengah antara ciri terkini ditawarkan.

Ia juga dilengkapi sistem operasi pintar dan paparan digital serta ‘Mercedes-Benz User Experience’ (MBUX) dan ‘Mercedes me connect’ yang membolehkan komunikasi pemandu dan kenderaan dengan hanya menyebut ‘Hi Mercedes’.

Kokpitnya dilengkapi sistem digital penuh termasuk paparan multimedia dengan ketersambungan telefon pintar pada skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci dan kluster intrumen meter bersaiz 12.4 inci dengan kemasan aluminium dan hitam piano.

Sistem bunyi menyeluruh Burmester melahirkan kualiti akustik bermutu tinggi menjadikannya kombinasi hiburan terbaik buat penumpang.

Selain itu, bumbung suria juga melengkapi ciri mewah kenderaan ini.

Kerusi belakang dengan lipatan 40:20:40 boleh direbah dengan mudah daripada ruang but seluas 500 liter.

Untuk pemanduan, ia dijana enjin 1,991cc pengecas turbo DOHC VVT yang menjana 258hp pada 6,100rpm dan dan 370Nm pada 1,300 hingga 4,000rpm.

Untuk varian AMG Line, enjinnya tidak ditala dengan versi prestasi cuma aksesori luaran dan dalaman saja.

Namun kuasanya sudah cukup memberi kepuasan kepada penulis.

Dilengkapi kotak gear sembilan kelajuan 9G-Tronic, ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 240km/j.

Lima mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual mengikut kesesuaian cita rasa pemandu serta permukaan jalan raya yang dilalui.

Secara keseluruhan, model ini bercirikan SUV urban dengan kemasan luaran dan dalaman AMG.

Ia sesuai buat golongan T20 yang mahukan jentera dengan imej maskulin.

Pembaharuan terkini lain yang diberi ialah, GLC 300 Coupe dilengkapi suspensi sport untuk redaman lebih keras serta sistem Pre-Safe yang melindungi keseluruhan penumpang sebelum berlakunya sesuatu kejadian tidak diingini.

Ciri prestasi dengan enjin turbo dan pada masa sama gaya fleksibel ruang dalaman adalah sesuatu yang menjadi kelebihan untuk segmen ini.

Ciri bantu keselamatan seperti kamera 360 darjah, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantu Parkir Aktif dan Bantuan Titik Buta memberikan kelegaan tambahan kepada pemandu.

Bagi elemen keselamatan, ia didatangkan dengan tujuh beg udara, Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), ISOFIX, Kawalan Kestabilan dan Immobilizer.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Cavansite Blue Metallic, Iridium Silver Metallic, Selenite Grey Metallic, Polar White dan Obsidian Black Metallic (model yang dipandu uji).

Untuk pasaran Malaysia, ia adalah model pemasangan tempatan (CKD) dijual pada harga RM419,888 (atas jalan tanpa insurans).

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 7:00am
d