vroom

Renault kemas kini pelan

Oleh Lizam Ridzuan

PILIHAN lebih fleksibel ditawarkan oleh TC Euro Cars (TCEC) sebagai pengedar eksklusif kenderaan jenama Renault di negara ini dengan mengemas kini pelan untuk 'Renault Subscription' dan E-Store mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Hoe Mun berkata, selain itu terdapat juga perubahan ke atas pelan 'Subscription Fixed' dan 'Switch' dan tawaran lebih menarik melalui pembelian dalam talian E-Store.

"Untuk kekal berada di hadapan, TCEC banyak memulakan transformasi digital bagi disesuaikan dengan situasi semasa industri automotif terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tawaran secara dalam talian ini dilihat bertepatan dengan normal baharu bagi penjarakan sosial dan menyesuaikan keperluan pemilikan kenderaan untuk pelanggan," katanya.

Renault Subscription adalah pilihan mampu milik dan fleksibel bagi memiliki kenderaan Renault sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang.

Renault Subscription Trial turut dikembangkan ke semua pusat pameran di seluruh negara yang dimulakan sebelum ini di Renault Petaling Jaya.

Ia adalah pelan mampu milik model Captur pada harga RM399 seminggu.

Berbanding hanya sekali untuk pelanggan sebelum ini, ia kini boleh dilakukan sebanyak mungkin bagi membantu pelanggan yang terjejas akibat PKP bagi menggunakan kenderaan.

Selain itu, melalui pelan Renault Subscription Fixed, ia diubah bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan dengan menambah tempoh pembiayaan selama tiga tahun untuk model Megane R.S 280 Cup, Captur dan Koleos.

Antara pembaharuan lain yang diperkenalkan ialah pelan Switch Base yang menawarkan model Captur Trophy pada kadar RM1,999 sebulan.

Pelan Switch Prime pula menawarkan model Koleos pada harga RM3,199 sebulan.

Pelanggan turut diberi akses untuk bertukar kepada kedua-dua pelan ini bagi tempoh dua bulan.

Sejak dilancarkan pada 22 April lalu, ia berjaya menerima 100 bayaran tempahan dalam tempoh tiga hari.

Melalui pembelian Renault E-Store, pelanggan ditawarkan lebih rebat yang bersamaan bayaran ansuran bulanan selama enam bulan, servis percuma selama lima tahun dan ganjaran tukar ganti sehingga RM8,000.

Buat pengguna yang memilih pelan 'Pre-Owned Captur Subsciption', mereka akan terus menikmati potongan 50 peratus daripada enam bulan pertama yuran langganan mereka.

Untuk perkhidmatan selepas jualan E-Store selain diskaun 25 peratus ke atas setiap tayar, penjajaran percuma dan 10 peratus untuk bateri, TCEC juga menawarkan perkhidmatan pintu ke pintu untuk pelanggan.

Pelanggan juga boleh memohon penghantaran kenderaan yang dibeli, dilanggan atau diservis.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 6:30am
d