vroom

Perodua kini beroperasi sepenuhnya

Oleh Lizam Ridzuan

SELEPAS 'berehat' selama dua bulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, Perodua kini kembali beroperasi sepenuhnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, semua 182 pusat jualan, 202 pusat servis dan 68 pusat badan dan cat (B&P) di seluruh negara menyambung semula operasi.

"Kami juga melaksanakan langkah penjagaan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja serta pelanggan dilindungi dalam situasi Covid-19 ini," katanya kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, operasi pengeluaran di Sungai Choh sudah bermula sejak 11 Mei lalu dan kini sudah berjalan sepenuhnya.

Malah, cawangan Perodua juga memulakan operasi secara berperingkat sejak 12 Mei lalu dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

"Pelanggan yang ingin melakukan servis perlu mendapatkan slot temujanji terlebih dulu dan tiada pelanggan secara 'walk-in' akan diterima buat masa ini bagi mengelakkan kesesakan.

"Antara SOP lain yang dilaksanakan ialah semua pelawat mestilah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftar maklumat diri dan memastikan penjarakan sosial.

"Selain pembersih tangan ditempatkan di lokasi utama dan pembersihan secara berkala dilakukan ia adalah sebagai komitmen kami untuk keselamatan bersama untuk menjadikan Pengalaman Perodua dilaksanakan dengan baik," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:06pm
d