vroom

Umum pemenang musim ketiga

Oleh Lizam Ridzuan

TIRAI musim ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dilabuhkan lebih awal akibat penularan Covid-19.

Seiring dengan itu, tiga pemenang keseluruhan perlumbaan Cabaran Vios turut diumumkan.

Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua dalam kategori Super Sporting membabitkan pemandu profesional.

Hayden Haikal pula mencatatkan sejarah tersendiri pada usia 16 tahun apabila mengungguli kategori pemandu amatur dan Shawn Lee muncul juara kategori Promotional daripada pelumba selebriti.

Semua mereka berjaya menamatkan 75 peratus daripada siri perlumbaan musim ini dengan tiga daripada empat pusingan yang acara akhir sepatutnya diadakan pada 17 hingga 19 April lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ia dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Sukan Permotoran TGR Malaysia, Akio Takeyama berkata, sudah pasti bukan ini penamat yang dimahukan dalam sesuatu perlumbaan, namun demi keselamatan dan kesihatan awam, ia langkah terbaik yang perlu diutamakan.

"Cabaran Vios adalah perlumbaan unik yang sengit membabitkan satu model kenderaan saja dan bergantung kepada kecekapan pemandu tanpa ada sebarang talaan pada enjin.

"Pemenang dipilih berdasarkan kedudukan mereka daripada tiga perlumbaan yang sudah dijalankan serta melalui perbincangan yang teliti dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), katanya yang juga Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor (UMWT).

Tiga siri perlumbaan yang diadakan untuk musim ketiga membabitkan Kuala Terengganu pada 5 hingga 7 September 2019, Bandar Malaysia, Kuala Lumpur pada 9 hingga 10 November 2019 dan Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14 hingga 16 Februari 2020.

Sebagai rangkuman musim ketiga, Presiden UMWT Ravindran K berkata, Festival TGR dan Cabaran Toyota Vios berkembang menjadi lebih kukuh dalam memenuhi matlamat utama syarikat iaitu membawa sukan permotoran dan semangat perlumbaan Toyota kepada umum.

"Selain itu, ia juga meningkatkan tahap sukan permotoran melalui konsep perlumbaan litar jalanan dan membuktikan ketahanan serta prestasi terbaik kenderaan kami dalam keadaan pemanduan yang ekstrem, katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 6:30am
d